Nurul Fatihah jenazah terakhir dikebumi

Nurul Fatihah jenazah terakhir dikebumi

JENAZAH Nurul Fatihah Abu Setaman selamat dikebumikan kira-kira pukul 10.30 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Duek, Hulu Besut, Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Jenazah Nurul Fatihah Abu Setaman, 22,  pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, selamat dikebumikan kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.

Jenazah pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI  itu adalah yang terakhir dikebumikan daripada 15 mangsa terlibat dalam nahas berkenaan. Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Duek, Hulu Besut, di sini.

Jenazah Allahyarham antara 13 mangsa yang dibawa balik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak dan disembahyangkan di Masjid Hadhari, Jerteh. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Suasana pilu menyelubungi pekarangan tanah perkuburan apabila lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham.

Terdahulu, berselang masa 30 jam, pekarangan Masjid Hadhari, Jertih, di sini sekali lagi menerima ‘kehadiran’ pelajar UPSI, namun kali ini diiringi dengan suasana sayu dan pilu.

Sebanyak 13 jenazah penuntut institusi pengajian tinggi berkenaan tiba kira-kira pukul 3 pagi bersama konvoi yang membawa dan mengiringi mereka dari Ipoh, Perak.

Masjid itu adalah lokasi sama tempat mereka berkumpul sebelum berpisah dengan keluarga pada pukul 9 malam, Ahad lalu untuk menaiki bas pulang ke UPSI Tanjung Malim bagi meneruskan perjuangan menuntut ilmu.

Namun, nahas berlaku apabila bas membawa mereka terbabas dan terbalik merempuh penghadang jalan di kawasan selekoh di Kilometer 53, JRTB, Jeli-Gerik, Perak yang meragut 15 nyawa.

Sebelum itu, ahli keluarga dan sanak-saudara kepada 13 mangsa kejadian itu setia menanti lebih tujuh jam ketibaan jenazah di Masjid Hadhari untuk disolatkan serta memberi penghormatan terakhir seterusnya dikebumikan.

Sejak pukul 7 malam kelmarin, mereka mula berkumpul dengan wajah penuh kedukaan menanti ketibaan jenazah. Sejurus selepas tiba, semua jenazah diusung dengan bantuan ahli jawatankuasa masjid dan jemaah. 

Jenazah yang siap dikafankan disolatkan buat kali kedua di masjid itu pada pukul 3.15 pagi semalam oleh lebih 1,000 ahli khariah dan ahli keluarga mangsa. 

Solat jenazah diimamkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Semua urusan di masjid berkenaan berjalan lancar, jenazah-jenazah penuntut UPSI itu kemudian dibawa pulang oleh keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.

Jenazah dua lagi mangsa iaitu Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, terlebih dahulu selamat dikebumikan, masing-masing di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Badak di Hulu Besut serta Tanah Perkuburan Islam Kampung Amer, di sini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×