KUALA LUMPUR: Pelakon, Siti Hariesa, menyifatkan babak perbualan dengan penceramah bebas, Ustazah Asma’ Harun dalam drama Lambaian Huda sebagai adegan paling menyentuh hati.
Cerita Hariesa atau Siti Hariesa Muhammad Hanafi, 27, dia tidak dapat menahan air mata dan menangis teresak-esak ketika penceramah itu berkata setiap manusia berjalan di atas takdir hidupnya masing-masing.
“Semasa adegan itu, watak Suzie yang saya bawakan ada dialog. Cuma ustazah tiada skrip. Memang apa yang keluar dari mulut dia, datang daripada dia sendiri.
“Cuma apa yang dilafazkan ketika itu sangat menyentuh hati terutama ayat ‘kita semua tak sempurna, setiap daripada kita ada laluan masing-masing. Apa yang saya lakukan ini sudah yang terbaik’.
“Waktu itu, dia seolah-olah bukan bercakap dengan Suzie, tapi Siti Hariesa. Saya menangis tidak berhenti. Kalau nak tahu, saya pun tak sangka boleh mengalirkan air mata seperti itu. Mungkin itulah keindahan apabila sesuatu nasihat itu diberikan daripada hati, bukan skrip. Kita betul-betul dapat rasa,” katanya.
Hariesa ditemui semasa tayangan episod akhir drama Viu, Lambaian Huda di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, selepas lakonan tamat, ustazah Asma terus memeluk Siti Hariesa selain menyifatkan gadis itu sangat berbakat dalam bidang lakonan.
“Dia ada pujuk dan cakap saya seorang yang pandai berlakon. Tapi saya menafikan, bagi saya adegan itu berjaya dilakukan sebab energi daripada dia juga. Selepas itu, saya ambil masa bertenang dan kembali bekerja,” tambahnya.
Lambaian Huda mengisahkan tentang Suzie seorang penyanyi kelab malam terperangkap dalam hubungan toksik dengan seorang lelaki, Datuk Farid yang sudah berkahwin. Dia kemudian bertemui seorang lelaki, Ustaz Fatih yang membawanya keluar daripada kehidupan hitam. -UTUSAN