PETALING JAYA: Datuk Seri Nancy Shukri berharap siasatan dapat dijalankan dengan telus berhubung kematian seorang pelajar universiti swasta, Maniishapriet Kaur Akhara di Cyberjaya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, beliau percaya siasatan membabitkan wanita tersebut dapat dilakukan berintegriti agar keadilan dapat ditegakkan.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang Maniishapriet Kaur Akhara atas kehilangan yang amat mendukacitakan ini.
“Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dugaan ini.
“Saya percaya dan berharap siasatan akan dijalankan dengan telus dan berintegriti agar keadilan dapat ditegakkan. Saya juga mendoakan agar segala urusan keluarga mangsa dipermudahkan, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Nancy berkesempatan menziarah keluarga mangsa kejadian tragis yang berlaku di Cyberjaya itu sebelum bertolak ke Putrajaya.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa berusia 20 tahun berasal dari Sarawak itu ditemukan maut oleh rakan serumah dengan kesan kecederaan di kepala kira-kira pukul 10.28 pagi di Mutiara Ville, Cyberjaya.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati, tidak terdapat sebarang kesan pecah masuk ke atas kediaman mangsa.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas tubuh mangsa mendapati terdapatnya kecederaan ditemukan di bahagian kepala.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. – UTUSAN