Kes buli membimbangkan, keselamatan kanak-kanak terancam

Kes buli membimbangkan, keselamatan kanak-kanak terancam

Nancy Shukri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes buli di negara ini semakin membimbangkan apabila aduan yang diterima termasuk membabitkan kes buli siber menunjukkan peningkatan ketara sekali gus mencetuskan kebimbangan serius terhadap keselamatan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, trend peningkatan itu merupakan petanda jelas kanak-kanak kini terdedah kepada risiko melalui platform digital yang semakin sukar dikawal.

Katanya, dua faktor utama menyumbang kepada peningkatan itu adalah peningkatan kesedaran masyarakat yang membawa kepada lebih banyak laporan dibuat serta peluang jenayah siber yang semakin luas dan dimanfaatkan pelaku termasuk dalam talian.

“Memang membimbangkan. Ia dipercayai meningkat kerana dua faktor. Pertama, ada kesedaran menyebabkan lebih banyak laporan dibuat.

“Kedua, memang wujud peluang kepada pelaku, terutama ‘predator’ dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan 2025 ASEAN ICT Forum On Child Online Protection dan Peluncuran Pelan Tindakan Dasar Kanak-Kanak Negara, hari ini.

Menurut Nancy, sebahagian kanak-kanak teruja dengan aktiviti digital tanpa menyedari mereka sedang dimanipulasi sekali gus menjadikan mereka sasaran mudah.

Katanya, kelemahan pemantauan daripada keluarga turut menyumbang kepada risiko apabila ramai ibu bapa terlalu sibuk bekerja dan tidak menyedari kesan sebenar penggunaan teknologi terhadap anak-anak.

“Ada ibu bapa tidak menyedari apa yang berlaku kerana kesibukan kerja. Mereka tidak tahu kesan aktiviti dalam talian ke atas anak-anak.

“Keadaan itu bertambah buruk apabila guru di sekolah juga berdepan kekangan untuk mengikuti perkembangan ancaman digital semasa kerana bebanan tugas harian.

“Guru ada tugas harian mereka. Ada perkara yang mereka tidak tahu berlaku dalam talian. Sebab itu seminar seperti ini penting untuk beri maklumat terkini,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu menjadikan kanak-kanak lebih terdedah kepada buli fizikal dan buli siber yang berlaku pada platform digital tanpa kawalan dan tanpa pengetahuan orang dewasa.

Mengulas statistik terkini berkaitan kes buli, Nancy berkata, statistik tersebut hanya boleh disahkan selepas diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan laporan yang direkodkan dan tindakan ldiambil adalah asas utama data tersebut.

“Data mesti daripada PDRM. Kita belum ada angka terkini, tetapi apa pun data itu perlu melalui mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN