KUCHING: Wanita buta warga emas yang merangkak bagi meminta bantuan selepas kematian anaknya akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan (RSK) selepas tiada waris datang menuntut.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, wanita berusia 69 tahun itu akan menjalani beberapa pemeriksaan termasuk penilaian fizikal dan mental bagi mengetahui tahap sebenar keadaannya.
Katanya, individu yang mengalami kesukaran mengurus keperluan ahli keluarga, khususnya warga emas atau orang kurang upaya (OKU) dinasihatkan untuk menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak bagi mendapatkan bantuan sewajarnya.
“Adalah lebih baik beliau ditempatkan di RSK kerana tinggal keseorangan dan tidak mempunyai waris. Kalau ada keluarga sudah tentu mereka akan mengambilnya, namun setakat ini tiada siapa tampil menuntut.
“Kerajaan menyediakan banyak kemudahan, cuma masyarakat perlu tahu di mana untuk mendapatkan bantuan. Jangan takut atau segan, kerana keutamaan kami ialah memastikan kebajikan semua termasuk yang hidup dalam kesunyian,” katanya ketika ditemui sempena Festival Gastronomi Nyamai Sarawak 2025, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang wanita warga emas ditemui orang awam selepas merangkak 150 meter keluar dari rumahnya dalam keadaan lemah.
Wanita itu ditemui awal pagi di jalan Kampung Telok Sabang, di Kota Samarahan bagi mendapatkan bantuan selepas beberapa hari tinggal bersama mayat anak perempuannya.
Dalam pada itu, Nancy turut menyeru ketua masyarakat dan penduduk agar sentiasa memantau keadaan jiran terutama mereka yang tinggal bersendirian.
Katanya, situasi seperti itu sebenarnya boleh dielakkan sekiranya masyarakat prihatin dengan keadaan jiran berdekatan.
“Kita tidak sepatutnya hanya mengambil perhatian terhadap masalah penduduk ketika musim pilihan raya sahaja, tetapi perlu sentiasa peka terhadap keadaan jiran dan individu yang memerlukan bantuan.
“Kita melantik ketua masyarakat dan sukarelawan di kampung untuk menjadi mata serta telinga kepada agensi kebajikan dan mereka perlu mengetahui siapa yang tinggal bersendirian dan siapa yang memerlukan bantuan,” katanya. – UTUSAN










