Muhamad Syahmi tidak sabar daftar ke IPG Tuanku Bainun

Muhamad Syahmi tidak sabar daftar ke IPG Tuanku Bainun

MUHAMAD Syahmi Azril Saidi Jamal (kiri) menerima sumbangan komputer riba daripada Kelab Anak-Anak Sik yang berkunjung ke rumahnya di Bandar Baru Beris Jaya, Sik, Kedah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Bakal guru yang mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ekoran kesukaran keluarganya membiayai pengajiannya di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun seakan menerima ‘tonik’ baharu dalam hidupnya.

Muhamad Syahmi Azril Saidi Jamal, 18, yang sebelum ini hampir terpaksa melupakan impiannya menjadi guru kini tidak sabar menunggu tarikh pendaftaran ke IPG itu yang dijadualkan pada 11 Ogos ini.

“Alhamdulillah, keperluan dan perbelanjaan saya untuk terima tawaran serta pendaftaran ke IPG Kampus Tuanku Bainun telah mencukupi. Terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu saya.

“Saya tidak sabar menunggu tarikh pendaftaran dan sesi pertama kuliah, insya-Allah saya akan belajar bersungguh-sungguh sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang dan membantu saya dan keluarga saya,” katanya di sini, semalam.

Laporan Utusan Malaysia kelmarin yang menyiarkan kesukaran Muhamad Syahmi Azril dan keluarganya mendapat perhatian Fadhlina dan beberapa pihak lain.

Fadhlina melalui Facebook rasminya memaklumkan pasukan beliau sedang berhubung dengan keluarga tersebut untuk menguruskan Muhamad Syahmi Azril bagi meneruskan pengajiannya ke IPG selain turut menghargai keprihatinan Utusan Malaysia yang melaporkan kisah pelajar itu.

Muhamad Syahmi Azril sebelum ini hampir berputus asa untuk memenuhi cita-citanya menjadi seorang guru walaupun sudah menerima tawaran kerana memikirkan kesusahan bapanya yang hanya menoreh getah manakala ibunya menghidap kanser payudara.

“Tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata melainkan rasa syukur kepada Allah dan terima kasih kepada semua pihak yang sanggup membantu untuk saya mencapai impian dan harapan sejak kecil bagi menjadi seorang guru.

“Selain Menteri Pendidikan, wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sik juga ada datang ke rumah dan guru-guru sekolah lain yang menghulurkan sumbangan.

“Saya juga terharu menerima komputer riba sumbangan Kelab Anak-Anak Sik yang selama ini tidak pernah dimiliki.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN