KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) memberi jaminan untuk membersihkan sehingga akar umbi budaya ‘Little Napoleon’ dan kartel didakwa wujud dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sejak sekian lama.
Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya mengambil serius teguran Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan sudah mengambil pendekatan serta tindakan segera dalam mengatasi masalah tersebut sejak mula mengetuai MPK lebih setahun lalu.
Katanya, antara langkah telah diambil adalah seperti penempatan semula kakitangan dan menyemak semula skop tugas.
Katanya, tindakan lanjut lain adalah seperti rombakan semula pegawai, penetapan dan kajian semula petunjuk prestasi utama (KPI) dan menempatkan pegawai ke agensi luar bagi mendapatkan latihan dan pengalaman baru.
Kata beliau, pihaknya juga bakal mengambil tindakan tegas terhadap pegawai melanggar peraturan dan perkara itu dilaksanakan dengan lebih efisyen dan tuntas.
“Walaupun diakui masih terdapat segelintir pegawai yang masih berada di zon selesa dengan membuat tindakan keluar masuk pejabat tanpa kebenaran rasmi ketua jabatan dan melenting apabila ditegur sambil cuba menggunakan pengaruh luar untuk menghalalkan kesilapan mereka namun kita tidak akan berkompromi terhadap pegawai ‘toksid’ sebegini.
“Teguran Raja Perlis menjadi ‘tonik’ kepada saya untuk memperbaiki sistem pentadbiran, meningkatkan mutu pembangunan negeri, sekali gus melonjakkan Perlis ke satu tahap yang lebih hebat lagi.
“Luahan rasa baginda melalui titah tersebut menjadi pemangkin kepada saya dan bagi saya ia adalah sumber tenaga untuk saya berjuang lebih gigih lagi demi negeri kelahiran saya ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Tuanku Syed Sirajuddin menegur karenah birokrasi serta budaya ‘Little Napoleon’ yang didakwa wujud dalam pentadbiran MPK.
Titah baginda, kewujudan segelintir pegawai yang mengamalkan budaya ‘Little Napoleon’ dalam PBT itu telah memburukkan nama MPK.
Sementara itu, Affendi berkata, permohonan pelan kebenaran merancang melalui sistem Unit Pusat Setempat (OSC) secara dalam talian sehingga Jun 2024 yang diterima pakai di MPK sejak 2020 sering kali mencatatkan kelulusan melebihi daripada tempoh piagam ditetapkan.
“Ia melibatkan sehingga 400 hari lebih dan permohonan tersebut masih lagi dibincangkan di dalam mesyuarat jawatankuasa OSC tanpa sebarang keputusan mutlak. Ia menunjukkan ketidakcekapan pengurusan dan menyebabkan pematuhan pelaksanaan manual OSC 3.0 plus gagal dilaksanakan.
“Oleh itu, bermula Jun 2025, satu inisiatif penambahbaikan OSC 3.0 plus dijalankan bagi mengenalpasti punca kelewatan kelulusan permohonan pelan kebenaran merancang,” katanya.-UTUSAN











