MOT teliti guna teknologi penghad kelajuan kenderaan berat

MOT teliti guna teknologi penghad kelajuan kenderaan berat

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kementerian Pengangkutan kini meneliti beberapa langkah penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan mandatori oleh kenderaan berat dalam usaha memperkukuh dasar keselamatan jalan raya susulan nahas bas yang meragut nyawa 15 pelajar semalam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, antara yang diteliti termasuk penggunaan teknologi seperti pengehad kelajuan dan kamera video dalam kenderaan untuk dipasang pada kenderaan berat sebagai langkah keselamatan, selain mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas ekspres.

“Kenderaan berat pada masa ini memang dilengkapi dengan pengehad kelajuan, namun, peranti itu sering diubah suai sehingga tidak lagi berfungsi untuk mengawal kelajuan.

“Peranti ini perlu dipasang pada kenderaan berat bagi mengelakkan mereka memandu melebihi had laju. Tetapi, apa yang berlaku ialah, peranti itu sering diubah suai.

“Ini cabaran yang perlu kita tangani dalam memastikan pematuhan oleh syarikat-syarikat yang mengendalikan kenderaan berat termasuk lori dan bas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program CruiseWorld Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan mewajibkan penggunaan kamera video dalam kenderaan berat, beliau berkata, perkara itu juga sedang diteliti oleh pihak kementerian ketika ini.

“Kamera video belum diwajibkan buat masa ini. Tetapi, kita perlu meneliti penggunaannya bagi meningkatkan tahap keselamatan,” katanya.

Anthony Loke memberitahu, semua bas baharu yang dibina mulai tahun 2020 dan ke atas telah diwajibkan untuk dilengkapi dengan tali pinggang keledar bagi semua penumpang.

“Namun, dalam kejadian nahas di Lebuhraya Timur-Barat itu, kita dapati, bas berkenaan dibina pada tahun 2013. Jadi, ia telah berusia 12 tahun dan sememangnya tidak mempunyai tali pinggang keledar,” ujar beliau.

Tambah Anthony, cabaran utama pihaknya ketika ini ialah untuk memastikan penumpang bas memakai tali pinggang keledar dan dalam hal ini, MOT akan turut meneliti beberapa kaedah lain untuk memastikan pematuhan pemakaian itu berlaku termasuk memasang penderia seperti dalam kereta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN