Menteri-menteri pendidikan tinggi ASEAN capai kesepakatan

Menteri-menteri pendidikan tinggi ASEAN capai kesepakatan

ZAMBRY Abd Kadir (tengah) bersama para perwakilan negara-negara ASEAN pada Sidang Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN 2025 di The Ritz Carlton, Langkawi, semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sidang Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN yang melabuhkan tirai semalam mencapai beberapa persetujuan bersama negara anggota untuk memperkasa bidang pendidikan tinggi rantau itu.

Kesemua cadangan daripada sektor pendidikan tinggi itu diharapkan akan diterima oleh ketua-ketua negara dalam Sidang Kemuncak ASEAN 2025 pada Oktober depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, Malaysia mencadangkan supaya Institut ASEAN diwujudkan bagi mengumpul kepakaran dalam pelbagai bidang melibatkan negara-negara anggota.

“Meskipun negara tertentu telah menjalankan kajian di peringkat universiti masing-masing, namun tiada sebuah institut yang bersifat lebih komprehensif bagi semua negara ASEAN,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kepada Institut ASEAN memandangkan negara mempunyai kepakaran, antaranya melalui Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu kata Zambry, negara-negara anggota secara sebulat suara menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pendidikan Tinggi yang diperbaharui untuk menggantikan deklarasi lama yang sudah tamat selepas 10 tahun diterima pakai sejak 2015.

ZAMBRY Abd Kadir (tengah) mempengerusikan mesyuarat sempena Sidang Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN 2025 di The Ritz Carlton Langkawi, semalam.

Kata beliau, deklarasi kali ini digarapkan untuk tempoh 20 tahun hingga 2045 agar ianya selaras dengan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ‘ASEAN 2045: Our Shared Future’ yang dimeterai ketua-ketua negara, baru-baru ini.

Selain itu katanya, sidang meja bulat turut memutuskan supaya negara anggota menerima usaha-usaha yang telah dibuat untuk merencanakan satu pelan halatuju dan pelan gerak kerja bagi mewujudkan ruang kebersamaan.

“Maknanya, Sekretariat ASEAN yang beribu pejabat di Jakarta, Indonesia akan membantu mengendalikannya dan di sini juga kita akan bincangkan tentang terma-terma rujukan dalam mewujudkan kebersamaan dari segi gerak kerja dalam bidang pendidikan tinggi.

“Kita juga bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Pemandu melibatkan setiap negara anggota untuk membuat pelan halatuju dan pelan gerak kerja ini,” katanya.

Menurut Zambry, mesyuarat juga bersetuju untuk mewujudkan satu rangkaian dan platform kerjasama di peringkat institusi-institusi pendidikan tinggi ASEAN termasuk penglibatan politeknik di Malaysia.

“Kelmarin kita telah melancarkan GlobalASEAN.org yang merupakan satu portal diwujudkan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA), UKM dan TalentCorp.

“Agensi ini diharap dapat mewujudkan hasrat itu sehingga ianya menjadi platform bagi semua mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan tinggi ASEAN dapat menggunakan platform itu, termasuklah menyediakan peluang-peluang pekerjaan,” katanya.

Selain itu ujarnya, negara anggota menyentuh tentang mobiliti pelajar dan ahli akademik di rantau ini, termasuk program pertukaran yang membolehkan tenaga pengajar luar berpeluang mengajar di institusi pendidikan di Malaysia.

Tambahnya, persetujuan turut dicapai agar sebuah badan yang telah dilancarkan iaitu ASEAN Global Exchange for Mobility & Scholarship (ASEAN GEMS) dikhususkan sebagai platform sehenti untuk infomasi mengenai tawaran biasiswa dan program mobiliti yang disediakan di rantau ASEAN.

Zambry menyifatkan, penganjuran sidang meja bulat kali ini berjaya menghimpunkan semua menteri, wakil dan pegawai kanan pendidikan tinggi dari negara anggota, serta menerima maklum balas positif daripada peserta serantau dan antarabangsa.

Mengulas kejayaan itu, Pengerusi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi (CHED) Filipina, Dr. Shirley Castañeda Agrupis memuji usaha Malaysia menganjurkan dialog itu dengan menyifatkan ianya platform berharga untuk menanda aras amalan terbaik dan menangani cabaran serantau.

“Ini merupakan peluang bagi negara-negara ASEAN bertukar idea, menilai amalan terbaik, dan mengenal pasti kelemahan. Dalam pendidikan tinggi, penting untuk mempunyai amalan pembangunan penyelidikan dan inovasi di rantau ini.

“Penyelidikan adalah salah satu fungsi teras pendidikan tinggi dan penting untuk mempunyai penyelidikan berkualiti tinggi di rantau ini.

Malah, perlu ada platform bersama bagi setiap negara anggota berkongsi amalan terbaik tentang bagaimana kita boleh berusaha meningkatkan taraf sosioekonomi setiap keluarga di rantau ini.

“Perkara ini hanya dapat dicapai melalui pendidikan yang menjadi alat paling berkesan untuk mengatasi halangan itu,” katanya.

Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ISESCO), Dr. Salim Mohammed Al-Malik pula berbesar hati dijemput ke sidang itu termasuk diberi peluang menyampaikan ucapan mengenai isu keciciran pelajar.

“Statistik menunjukkan bahawa 250 juta kanak-kanak tidak bersekolah dan apa yang dilakukan untuk mengatasi perkara ini? Malangnya, majoriti daripada mereka berada di negara anggota ICESCO terutamanya di Sub-Sahara Afrika, dengan lebih 70 juta pelajar tidak bersekolah.

“Selain itu, saya turut gembira melihat visi dan kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membincangkan kepentingan kecerdasan buatan (AI) dan bagaimana untuk menerapkannya di semua universiti di Malaysia.

“Rakyat Malaysia perlu sedar kepentingan AI, tetapi dengan mengambil kira nilai-nilai Islam dalam AI, bagaimana untuk menggunakannya, bila untuk menggunakannya dan siapa yang patut menggunakannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN