JOHOR BAHRU: Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Ling Tian Soon menepis dakwaan bahawa parti itu hanya menjadi ‘pak turut’ dalam kerajaan perpaduan ditunjangi Pakatan Harapan (PH) ketika ini.
Menurutnya, MCA sebaliknya akan terus berjuang dan berkhidmat memberi yang terbaik kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Selaku Ketua Pemuda MCA, saya menegaskan MCA menyokong Kerajaan Perpaduan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong. Namun sokongan ini tidak bermakna kami akan berdiam diri apabila berlaku ketidakadilan atau dasar yang menjejaskan rakyat.
“Kritikan disuarakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong adalah berdasarkan fakta dan bertujuan memastikan kepentingan rakyat terpelihara.
“Ini termasuklah isu pemansuhan subsidi LPG yang menimbulkan kekeliruan dan beban kepada pengguna, ia perlu dijelaskan dengan telus,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Tian Soon, gesaan agar MCA keluar daripada kerajaan Perpaduan hanya kerana parti itu menjalankan tugas semak dan imbang adalah tidak wajar.
“Dalam demokrasi, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dan perlu dihormati. Kami akan terus bersuara demi rakyat dan memastikan setiap dasar kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada semua.
“MCA tidak akan menjadi ‘pak turut’ tetapi akan terus berjuang untuk keadilan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Jangan sibuk nak jaga tepi kain orang,” ujarnya.
Terdahulu, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan mendesak agar MCA keluar sahaja daripada kerajaan Perpaduan berikutan tindakan pemimpinnya yang terus-menerus menyerang Kerajaan Madani. – UTUSAN