SHANGHAI: Seorang lelaki di China dipenjara tiga tahun tiga bulan serta didenda sebanyak 10,000 yuan (RM9,500) selepas didapati bersalah memasukkan bahan sedatif ke dalam minuman rakan sekerjanya untuk mencuri maklumat kerja.
Menurut laporan media tempatan, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Li, bertindak mencampurkan bahan dikenali sebagai ‘serum kebenaran’ ke dalam minuman rakannya, Wang, sebanyak tiga kali sejak tahun 2022.
Li menemui bahan tersebut ketika dalam lawatan kerja dan tertarik dengan dakwaan penjual yang mendakwa hanya beberapa titis sudah cukup untuk membuat seseorang “membuka rahsia” tanpa sedar.
Kejadian pertama berlaku pada 29 Ogos 2022, ketika Li mengajak Wang makan malam dan secara senyap mencampurkan bahan itu ke dalam arak kuning dan bir rakannya.
Akibatnya, Wang berasa pening dan keliru sehingga terpaksa mendapatkan rawatan perubatan dalam tempoh beberapa hari berikutnya namun, Li gagal mencapai matlamat untuk mengetahui rancangan kerja mangsa.
Beberapa bulan kemudian, pada 13 Oktober 2022, Li sekali lagi mengulangi perbuatan sama ketika makan malam, menyebabkan Wang muntah-muntah dan mengalami simptom serupa.
Tidak berpuas hati, Li sekali lagi melakukan perbuatan itu pada 22 November 2022, ketika keluar minum bersama Wang dan selepas insiden kali ketiga itu, Wang mula mengesyaki sesuatu kerana setiap kali dia mengalami simptom pelik, ia hanya berlaku selepas keluar bersama Li.
Wang kemudian menjalani ujian darah dan air kencing di hospital dan keputusan menunjukkan kehadiran dua bahan sedatif berbahaya iaitu clonazepam dan xylazine, kedua-duanya tergolong sebagai penenang kuat yang memberi kesan kepada sistem saraf pusat.
Susulan itu, Wang membuat laporan polis dan pemeriksaan ke atas rumah Li menemukan botol yang dipercayai ‘serum kebenaran’ tersebut yang mengandungi bahan sama.
Ketika disoal siasat, Li mengaku mencampurkan bahan tersebut ke dalam minuman rakannya dengan tujuan untuk mengetahui rahsia rancangan kerja Wang.
Mahkamah Rakyat Daerah Jing’an, Shanghai, mendapati Li bersalah kerana memperdayakan individu untuk mengambil dadah dan menjatuhkan hukuman penjara lebih tiga tahun serta denda.
Sehingga kini, pihak berkuasa tidak mendedahkan apakah rancangan kerja Wang yang cuba dicuri oleh Li namun, kejadian ini mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial di China.
Setakat ini, keadaan kesihatan Wang selepas tiga kali diberikan bahan tersebut masih belum diketahui. -AGENSI










