KUALA TERENGGANU: Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, pagi ini menaiki bas berkenaan untuk pulang ke kampus selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, majoriti pelajar yang menaiki bas itu adalah anak-anak Terengganu yang pulang ke kampus selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.
Katanya, Kerajaan Negeri Terengganu akan menyalurkan bantuan segera kepada waris mangsa tragedi itu termasuk bantuan kebajikan dan khidmat kaunseling serta sokongan psikososial kepada keluarga serta rakan-rakan mangsa.
“Saya telah mengarahkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menyelaras segala urusan dengan pihak universiti, hospital serta kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap mangsa dan waris menerima bantuan sewajarnya.
“Kami menyeru seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia untuk sama-sama menadah tangan mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang yang soleh.
“Semoga mereka yang cedera diberi kesembuhan segera. Semoga seluruh keluarga yang diuji diberikan ketabahan luar biasa dalam menghadapi saat yang sangat sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -UTUSAN