Penghidap bipolar bukukan kisah hidup Nurly Sahirah

Penghidap bipolar bukukan kisah hidup Nurly Sahirah

NIK Noor Azlie Raja Seman (kiri) menyerahkan naskah buku Nurly Sahirah Kematian Yang Menghidupkan kepada Azman Mohamad di Kampung Gong Pasir, Kerandang, Besut, Terengganu. – MINGGUAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Mendapat inspirasi menerusi kecintaan mendalam terhadap al-Quran oleh Nurly Sahirah Azman, seorang pemuda yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental mengaba­dikan kisah hidup Allahyarham dalam senaskhah buku.

Penulis bebas, Nik Noor Azlie Raja Seman, 39, berkata, dia terdetik menulis kisah Allahyarham yang merupakan salah seorang mangsa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalan nahas bas di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu, setelah mengikuti perkemba­ngan ceritanya di media sosial.

Katanya, kisah Nurly Sahirah yang memuliakan kitab suci al-Quran dan merupakan hafizah 30 juzuk itu mengusik hatinya sekali gus membuka semangat baharu untuknya menamatkan hafazan al-Quran yang tertangguh sejak 25 tahun lalu selepas mengalami penyakit bipolar.

“Kematian 15 pelajar UPSI akibat kemalangan itu meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri saya sehingga tidak tidur lena terutama apabila memikirkan kisah Nurly Sahirah anak kelahiran Kampung Gong Pasir, Kerandang.

“Dalam tempoh seminggu insiden itu berlaku, saya memilih untuk tidak terlalu memikirkan kejadian tersebut kerana ia memberi tekanan. Sebagai penghidap bipolar, jika berlaku ia mengambil masa berhari-hari untuk hilang dan ada sehingga berbulan-bulan untuk saya pulih,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Pasir, Kerandang di sini.

Nik Noor Azlie berkata, bagi merealisasikan hasratnya itu, dia mengambil peluang berjumpa keluarga Allahyarham iaitu bapanya Azman Mohamad, 63, dan meluahkan rasa hatinya dan disambut baik.

“Untuk menulis kembali kisah Allahyarham, saya memerlukan sumber sahih yang mana ahli keluarga dan rakan terdekat arwah adalah sumber utama saya, selain turut ‘menyelidik’ kisah di sebalik kejadian kemalangan itu dengan mengumpulkan maklumat termasuk daripada pihak forensik serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Alhamdulillah, segalanya di­permudah dan dalam tempoh dua bulan buku berkenaan telah pun siap dan kira-kira 3,000 naskah telah dicetak,” katanya.

Menurutnya, pihaknya te­lah menerima kira-kira 1,500 naskah yang ditempah melalui pra-pesanan dalam tempoh se­bulan setengah, manakala sebanyak 200 naskhah turut diserahkan kepada Sekolah Menengah (SM) Imtiaz, dan hasil ro­yalti buku ini dibahagikan antara dirinya dan keluarga arwah.

Buku bertajuk Nurly Sahirah Kematian Yang Menghidupkan itu, kini tercatat dalam rekod katalog Perpustakaan Negara Malaysia dan mendapat sambutan bukan sahaja di Malaysia, malah dari Indonesia, Brunei dan Singapura. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN