JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesan kandungan sulfur dalam udara susulan kebakaran besar di Kawasan Perindustrian Kota Puteri berhampiran Taman Megah Ria, malam semalam.
Timbalan Ketua Zon Johor Bahru, Penguasa Kanan Bomba II Rosfarawadi Ismani Ismail berkata, penggunaan pelitup muka disarankan meskipun tahap sulfur masih rendah.
“Pasukan Hazmat digerakkan ke lokasi pada pukul 11.40 malam untuk mengambil bacaan udara dan sampel bahan pejal di dua lokasi dikenalpasti sebagai divisyen satu dan dua,” katanya.
Kebakaran di divisyen satu dipadam sepenuhnya pada pukul 4 petang, manakala pemadaman di divisyen dua berdepan kesukaran kerana terdapat halangan tong minyak besar yang menyekat akses anggota.
Pemadaman masih diteruskan dengan tiga aliran 700 kaki menggunakan pancutan air dari pili bomba pam jentera.
Dalam kejadian semalam, lima premis kilang terbakar melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi. Kebakaran itu turut memusnahkan tujuh lori, lima motosikal serta tiga kereta persendirian, dengan kepulan api dan asap setinggi 100 meter kelihatan di udara. – UTUSAN