ALOR SETAR: Warga asing didapati menyalahguna pas sosial dengan menyamar sebagai pelancong bagi menjalankan perniagaan di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu dikenal pasti menjejaskan peniaga tempatan.
Katanya, modus operandi yang digunakan oleh golongan tersebut adalah dengan datang ke negara ini untuk mengambil tempahan dan kembali ke negara mereka bagi menyiapkan produk yang ditempah.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Imigresen telah menjalankan operasi penguatkuasaan dan mendapati pelbagai kes termasuk memasuki negara ini tanpa dokumen, salah guna pas dan tinggal lebih masa.
“Ada juga yang masuk sebagai pelancong, bekerja mengambil tempahan perabot atau hiasan dalaman, kembali ke negara asal untuk menyiapkan tempahan dan kemudian datang semula menawarkan harga yang jauh lebih murah. Ini memberi kesan kepada peniaga tempatan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) Kedah berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke projek Pusat Kemudahan Perniagaan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), hari ini.
Semalam, kerajaan bersetuju mewujudkan pasukan petugas khas bagi menangani isu salah guna pas lawatan sosial oleh warga asing dan lambakan barangan di pasaran tempatan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Kewangan membantu menyelaras dan membentuk pasukan petugas khas itu.
Sementara itu, ujar Saifuddin, KDN khususnya Jabatan Imigresen dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bersedia untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap kesalahan itu.
“Walaupun kita mengalu-alukan pelancong atau pelawat ke negara ini, mereka juga mesti menghormati undang-undang negara kerana apa yang berlaku sekarang adalah terdapat individu yang masuk menggunakan pas lawatan sosial tetapi kemudiannya berniaga.
“Trend kesalahan ini menunjukkan sedikit peningkatan walaupun tidak ketara, sekiranya seseorang masuk menggunakan pas lawatan sosial, mereka tidak dibenarkan untuk bekerja atau berniaga. Hal ini juga diamalkan di negara lain,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin sekali lagi meminta perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram di hadapan kompleks beli-belah Sogo agar tidak meneruskan penganjuran himpunan itu.
“Kita akan menerima tetamu negara, Presiden India. India adalah rakan strategik Malaysia dari segi perdagangan dan merupakan antara pembeli minyak sawit terbesar negara. Akan berlangsung pertemuan dua hala antara kedua-dua negara.
“Apabila negara menerima tetamu penting, sebaik-baiknya keadaan dalam negara tenang. Saya masih mengambil peluang ini untuk sekali lagi meminta supaya ia tidak diteruskan dan penilaian dari sudut keselamatan serta potensi pelanggaran undang-undang diserahkan kepada polis,” katanya. – UTUSAN










