MELAKA: Kehilangan remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran yang keluar mencari lembu di kawasan hutan Kampung Permatang Pasir di sini semalam, kian menimbulkan pelbagai persoalan, selepas haiwan ternakan yang turut hilang itu tiba-tiba muncul sejurus azan dilaungkan dan ayat Kursi dibacakan.
Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, tidak pulang ke rumah sejak keluar sekitar pukul 6.30 petang semalam bagi menguruskan 13 ekor lembu milik bapa saudaranya.
Bapa saudara mangsa, Muhamad Hamirudin Jahaya, 31, berkata, ahli keluarga segera melakukan pencarian selepas mendapati Muhamad Aidil Asyraf tidak pulang seperti kebiasaan.
“Kami mula cari sekitar kampung bila adik saya maklumkan Aidil tak balik. Semua adik-beradik dan saudara mara turut bantu cari, termasuklah di sekitar dua kolam terbiar yang dipercayai ‘keras’ oleh penduduk.
“Tiga kali kami ulang kawasan yang sama, tapi memang tak nampak apa-apa,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang remaja lelaki OKU pembelajaran dilaporkan hilang selepas keluar mencari lembu milik bapa saudaranya di kawasan hutan di Kampung Permatang Pasir, semalam.
Muhamad Aidil Asyraf tidak pulang ke rumah selepas keluar sekitar pukul 6.30 petang untuk menguruskan 13 ekor lembu seperti kebiasaan.
Tambah Muhamad Hamirudin, kejadian aneh berlaku apabila salah seorang ahli keluarga melaungkan azan serta membaca ayat Kursi.
“Lepas saja azan dan bacaan ayat Kursi itu, tiba-tiba kami nampak lembu-lembu yang hilang tadi muncul di kawasan tersebut, walhal sebelum itu dah banyak kali cari, tak nampak seekor pun,” katanya.
Dalam pada itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi menjejaki remaja berkenaan diteruskan hari ini dengan bantuan bomba, polis, unit anjing pengesan (K9) dan penduduk kampung.
Setakat ini, tiada sebarang petunjuk ditemui mengenai keberadaan mangsa. – UTUSAN