Allah beri saya peluang kedua untuk hidup

‘Allah beri saya peluang kedua untuk hidup’

AHMAD Nabil Rosli memilih menjadi penghantar makanan di Kerteh, Kemaman di Terengganu. – MINGGUAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Meskipun diuji kehilangan tangan kiri akibat kemalangan jalan raya sejak lapan tahun lalu, seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) di Kerteh di sini membuktikan bahawa kekurangan anggota fizikal bukan penghalang untuk mencari rezeki.

Ahmad Nabil Rosli, 26, yang bekerja sebagai penghantar makanan, tetap cekal menunggang motosikal dengan hanya menggunakan satu tangan demi menyara kehidupan. Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, dia bagaikan diberi peluang kedua selepas terlibat dalam kemalangan ngeri ketika dalam perjalanan ke Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada 14 Mei 2017.

“Ketika kejadian, saya bernasib baik kerana tercampak jauh dan tidak terseret bersama motosikal yang terbakar. Saya kehilangan banyak darah sehingga dimasukkan 30 pek darah. Me­nurut ayah, nadi saya berhenti hampir setengah jam sebelum doktor berjaya menyelamatkan saya. Saya koma tiga hari,” katanya.

Impak kemalangan itu bukan hanya menyebabkan dia kehilangan tangan kiri, malah rahang kiri serta belakang lehernya retak. Kaki kiri turut mengalami gangguan saraf hingga menyukarkannya berjalan untuk sementara waktu.

“Selepas terjaga daripada koma, saya hilang semangat seketika apabila diberitahu ta­ngan kiri sudah tiada. Namun pujukan ibu bapa menyedarkan saya bahawa Allah memberi peluang kedua untuk hidup,” katanya.

Selepas lima bulan berehat, dia kembali bekerja sebagai pelayan sebelum beralih menjadi penghantar makanan semasa pandemik Covid-19.

“Pada mulanya saya guna tangan palsu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi ia menyebabkan leher saya sakit. Akhirnya saya memilih untuk menunggang tanpa tangan palsu meskipun risiko­nya tinggi,” katanya.

Walaupun pernah terjatuh ketika menghantar pesanan, Ahmad Nabil bersyukur masih berpeluang bekerja. “Saya tidak pernah malu walaupun hanya ada satu tangan. Saya mahu jadi contoh kepada OKU lain bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk berjaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN