Lelaki maut, motosikal dirempuh kereta buat pusingan U

Lelaki maut, motosikal dirempuh kereta buat pusingan U

KEADAAN motosikal mangsa yang selepas dirempuh kereta ketika sedang melalui laluan di Lebuh AMJ, Sungai Petai, Alor Gajah pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U secara mengejut di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Sungai Petai, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Mohd. Riza Abu Zarin, 45, yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun dari arah Bandar Alor Gajah menuju ke Pekan Rembia secara tiba-tiba membuat pusingan U.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta berkenaan dipercayai membuat pusingan U sebelum merempuh motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan. Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami pendarahan teruk di bahagian kepala dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta yang juga seorang tukang seramik mengalami pendarahan di muka dan dada dan kini sedang dirawat di Unit Kecemasan Hospital Alor Gajah.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat, manakala kedua-dua kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut oleh pihak Puspakom.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN