Serangan Israel tidak mampu lumpuhkan program nuklear Iran - Utusan Malaysia

Serangan Israel tidak mampu lumpuhkan program nuklear Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Barak memberi amaran tindakan ketenteraan oleh Israel tidak mencukupi untuk melambatkan cita-cita nuklear Iran secara signifikan, sambil menyifatkan republik Islam itu kini sebagai sebuah ‘kuasa nuklear ambang’.

Dalam wawancara bersama CNN, Barak berkata keupayaan Israel untuk menyekat kemajuan program nuklear Teheran adalah terhad.

“Pada pendapat saya, bukan rahsia lagi Israel tidak mampu menangguhkan program nuklear Iran dalam tempoh yang lama mungkin hanya beberapa minggu, paling lama sebulan. Malah Amerika Syarikat (AS) sendiri tidak mampu melambatkannya lebih dari beberapa bulan,” katanya.

Menurut Barak, walaupun Iran belum memiliki senjata nuklear sepenuhnya, mereka berkemungkinan besar hanya perlu menyelesaikan beberapa aspek persenjataan atau membina satu alat nuklear asas yang boleh diletupkan di kawasan gurun sebagai demonstrasi kuasa.

Beliau mengakui serangan ketenteraan adalah suatu tindakan yang rumit namun tetap dirasakan perlu oleh Israel.

“Daripada berdiam diri, Israel rasa mereka perlu bertindak. Mungkin dengan kerjasama AS, lebih banyak kita boleh lakukan,” katanya.

Bekas pemimpin itu menegaskan bahawa menghentikan kemajuan Iran hanya boleh dicapai melalui dua cara, sama ada melalui perjanjian diplomatik yang kukuh atau melalui peperangan besar-besaran yang menumbangkan rejim Teheran.

“Iran kini berada pada tahap kuasa nuklear ambang. Satu-satunya jalan untuk menyekatnya ialah sama ada dengan mengenakan satu perjanjian baharu yang benar-benar meyakinkan atau melancarkan perang skala penuh untuk menggulingkan rejim mereka,” tegasnya.

Namun begitu, Barak menyatakan keraguan bahawa Washington bersedia untuk mengambil langkah sedemikian.

“Saya tidak percaya mana-mana Presiden AS, sama ada Trump mahupun pemimpin terdahulu akan buat keputusan untuk melakukannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN