KLUANG: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki yang penuh muatan minyak petrol dan diesel di Kilometer 39, Jalan Batu Pahat-Mersing, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, dalam kemalangan pukul 10 malam itu, mangsa, Cheng Tow Kheong, 52, meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Kluang ke Ayer Hitam telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori tangki.
“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala pemandu lori tangki tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya hari ini.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II Isyadi Dani berkata, pihaknya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN