Sindiket kaut RM3 juta peras ugut video seks

Sindiket kaut RM3 juta peras ugut video seks

MOHD. Khalid Ismail sewaktu berucap dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket jenayah terancang didalangi lelaki berusia 23 tahun yang terbabit dalam peras ugut video seksual dan penipuan tawaran kerja luar negara tumpas membabitkan kerugian melebihi RM3 juta.

Menerusi Op Bugil yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Johor telah menahan enam anggota kumpulan itu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, sindiket aktif sejak tahun lalu telah didalangi seorang lelaki tempatan dengan dianggotai seramai 11 individu berusia antara 18 hingga 37 tahun.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mencipta akaun media sosial palsu dan menyamar sebagai wanita menarik bagi memperdaya mangsa untuk melakukan panggilan video lucah.

“Dalam masa sama, mangsa dihantar pautan phishing untuk menggodam data telefon bimbit sebelum rakaman video digunakan sebagai bahan ugutan bagi memeras wang secara berperingkat,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, mangsa yang berada dalam keadaan takut dan tertekan kemudiannya memindahkan wang ke akaun sindiket seperti diarahkan.

Mohd. Khalid turut mendedahkan sindiket berkenaan terbabit dalam aktiviti eksploitasi dan pemerdagangan orang apabila merekrut pekerja tempatan termasuk individu bawah umur dengan tawaran gaji antara RM2,200 hingga RM4,000 sebulan.

“Selepas dilatih, mangsa ditawarkan pekerjaan di luar negara dengan gaji sehingga RM9,820 (AS$2,500) sebelum dipaksa bekerja sehingga 12 jam sehari.

“Mereka juga mengawal pergerakan selain dikawal merampas dokumen pengenalan serta didera secara fizikal dan seksual sekiranya enggan menurut arahan,” jelasnya.

Tambah Mohd. Khalid, mangsa juga diugut bayaran RM30,000 sekiranya ingin berhenti kerja, menyebabkan kebanyakan mereka takut untuk membuat laporan polis

Rentetan itu, Mohd Khalid berkata, seramai enam suspek berusia antara 18 hingga 33 tahun ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada 15 Januari lalu. 

“Kita juga sedang memburu lima lagi termasuk ketua kumpulan yang masih bebas di mana dipercayai ada masih berada dalam negara dan ada yang melarikan diri ke luar negara 

“Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk pemerdagangan orang dan kanak-kanak, penghasilan pornografi kanak-kanak, rompakan berkumpulan dan bersenjata, khianat, mencuri, merusuh serta pengedaran dadah.

“Kertas siasatan dirujuk kepada Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara pada 5 Februari lalu dan pihak pendakwaan bersetuju menuduh semua suspek mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 12 Februari 2026 dan jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN