BUTTERWORTH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus merancakkan program-program berkaitan peningkatan tahap kesuburan seterusnya membantu menambah populasi kadar kelahiran di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program yang bakal dilaksanakan itu turut membabitkan penyertaan kaum lelaki agar pendedahan sewajarnya dapat diterapkan sekali gus menyedarkan masyarakat bahawa masalah ketidaksuburan juga boleh berpunca daripada golongan tersebut.
Kata Nancy, walaupun kadar kesuburan keseluruhan (TFR) meningkat kepada 1.7 berbanding 1.6 tahun lalu, namun, jumlah itu masih tidak mencukupi.
“Sebelum ini kita melaksanakan program yang banyak memfokuskan kepada golongan wanita, namun, kita mahu masyarakat sedar bahawa kaum lelaki juga boleh menjadi punca ketidaksuburan.
“Oleh itu, kita telah lancarkan program jelajah di Sabah untuk memberi pendedahan kepada kaum lelaki terutamanya apakah langkah yang boleh diambil untuk menyelesaikan perkara ini.
“Dalam hal ini, ada banyak perkhidmatan yang disediakan. Antaranya ialah Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi membantu pasangan suami isteri menimang cahaya mata,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Insipirasi Wanita: ‘Womenpreneurs-Shaping The Future Economy’ di Seberang Jaya di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Nancy memberitahu, pihaknya turut memfokuskan kepada industri perkhidmatan penjagaan bagi membolehkan golongan ibu kembali bekerja.
“Kita mahu ubah persepsi masyarakat iaitu dalam erti kata lain, kita mahu penjaga (caregiver) ini dilihat sebagai golongan profesional yang menjalankan tugas, bukannya orang gaji.
“Oleh itu, kita sediakan latihan, malah, memerlukan lebih ramai penyertaan terutamanya daripada golongan muda untuk menjadi tenaga profesional yang dapat memberikan perkhidmatan penjagaan terbaik kepada golongan wanita yang ingin bekerja.
“Kita mahu ia menjadi satu kerjaya yang bukan sahaja dapat memberi pendapatan yang tinggi malah dapat meningkatkan ekonomi ke arah kehidupan yang lebih baik,” ujar beliau. – UTUSAN