Lelaki Bangladesh dituduh langgar pejalan kaki depan masjid

Lelaki Bangladesh dituduh langgar pejalan kaki depan masjid

KAPSYEN FOTO: ATIQUE Zaman yang berkerusi roda hadir pada perbicaraan hari ini di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. GAMBAR: M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pejalan kaki di Jalan Ipoh, minggu lalu.

Tertuduh, Atique Zaman, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Bangladesh di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, Atique yang bekerja sebagai buruh didakwa memandu kereta Nissan Sylphy secara melulu sehingga menyebabkan kematian lelaki warga tempatan, Muhammad Redzuan Jamal, 46, pada pukul 11.49 pagi, 13 Jun lalu di Jalan Ipoh dari arah Sentul menghala Jinjang, berhadapan Masjid Abu Hurairah Kampung Batu di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak melebihi RM50,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh tidak kurang lima tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Adiba Iman Hassan tidak menawarkan jaminan atas alasan tertuduh merupakan warga asing.

“Namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah tidak kurang RM20,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia selain pasport perlu diserahkan kepada mahkamah serta tidak boleh mengganggu waris mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela Muhammad Affendy Mohd. Yusop yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan direndahkan atas alasan anak guamnya turut mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang rusuk akibat kemalangan itu selain mempunyai tanggungan keluarga.

Selepas meneliti permohonan kedua-dua pihak, Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap satu haribulan, dilarang mengganggu keluarga mangsa dan saksi pendakwaan serta lesen memandunya digantung sementara sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 11 Ogos ini. 

Terdahulu, media melaporkan seorang pejalan kaki hilang di sungai selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Ipoh menghala ke Bulatan Kepong, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, kereta dipandu seorang lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun didapati melanggar bahagian hadapan sebuah Toyota Camry dipandu wanita warga Vietnam sebelum merempuh mangsa yang sedang berjalan kaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN