KUALA LUMPUR: Legasi tokoh perubatan tersohor negara, Allahyarham Profesor Emeritus Datuk Dr. Khalid Abdul Kadir, diabadikan menerusi penamaan sebuah dewan khas di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebagai Dewan Khalid Kadir.
Penamaan itu bukan sekadar simbol penghormatan, malah pengiktirafan terhadap sumbangan besar Allahyarham dalam meletakkan asas kukuh pendidikan, penyelidikan dan amalan klinikal di Malaysia, khususnya dalam memartabatkan Fakulti Perubatan UKM sejak awal penubuhannya.
Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada 26 Oktober 2022 dikenang sebagai pelopor utama dalam bidang diabetes dan endokrinologi, dengan ratusan penyelidikannya menjadi rujukan bukan sahaja dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd. Razak berkata, penamaan dewan itu merupakan penghormatan tertinggi UKM terhadap warisan intelektual dan kesarjanaan Allahyarham yang banyak mencorak halatuju pendidikan perubatan negara.
“Allahyarham dikenali atas kepakaran dalam bidang diabetes dan endokrinologi, dengan hasil penyelidikan yang menjadi rujukan di peringkat antarabangsa. Beliau bukan sekadar membina hospital ini secara fizikal, tetapi juga membentuk falsafah serta budaya kecemerlangan yang kini menjadi identiti HCTM.
“Lebih penting, beliau merupakan antara tokoh yang memperjuangkan penubuhan sebuah hospital universiti, impian yang akhirnya dizahirkan melalui penubuhan HCTM,” katanya ketika merasmikan Dewan Khalid Kadir di sini, hari ini.
Tambah beliau, Dewan Khalid Kadir melambangkan kesinambungan aspirasi Allahyarham, akan menjadi medan ilmu, penganjuran syarahan, seminar, bengkel dan pelbagai program ilmiah sejajar dengan semangat pembelajaran sepanjang hayat.
“Kita bukan sahaja mengenang jasa beliau, malah mengangkat warisan intelektualnya agar terus menjadi inspirasi kepada generasi pelapis, khususnya pelajar dan penyelidik dalam bidang perubatan,” katanya.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran balu Allahyarham, Profesor Emeritus Datin Dr. Norella Kong serta ahli keluarga.
Dalam ucapannya, Dr. Norella meluahkan rasa terharu dan bangga atas penghormatan yang diberikan kepada arwah suaminya yang disifatkan sebagai pendidik, penyelidik dan pencetus budaya ilmu yang sejati.
“Saya dan keluarga amat tersentuh dengan penghormatan ini. Ia satu pengiktirafan tulus terhadap jasa Allahyarham kepada Fakulti Perubatan UKM yang beliau curahkan dengan penuh dedikasi dan kasih sayang.
“Allahyarham bukan sahaja seorang pakar perubatan dan pendidik unggul, tetapi juga tokoh pemikir yang membina jaringan kerjasama, mengembangkan penyelidikan dan menyuburkan ruang intelektual untuk kemajuan bersama,” katanya. – UTUSAN