Legasi Khalid Kadir diabadikan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz

Legasi Khalid Kadir diabadikan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz

MOHAMAD Abd. Razak ( tengah ) semasa merasmikan Dewan Khalid Kadir di blok tambahan Kompleks Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/NURUL NATASHA SURIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Legasi tokoh perubatan tersohor negara, Allahyarham Prof. Emeritus Datuk Dr. Khalid Abdul Kadir, diabadikan menerusi penamaan sebuah dewan khas iaitu Dewan Khalid Kadir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd. Razak berkata, penamaan dewan itu merupakan penghormatan tertinggi UKM terhadap warisan intelektual dan kesarjanaan Allahyarham yang banyak mencorak halatuju pendidikan perubatan negara.

“Allahyarham dikenali atas kepakaran dalam bidang diabetes dan endokrinologi, dengan hasil penyelidikan yang menjadi rujukan di peringkat antarabangsa. Beliau bukan sekadar membina hospital ini secara fizikal, tetapi juga membentuk falsafah serta budaya kecemerlangan yang kini menjadi identiti HCTM.

“Lebih penting, beliau merupakan antara tokoh yang memperjuangkan penubuhan sebuah hospital universiti, impian yang akhirnya dizahirkan melalui penubuhan HCTM,” katanya ketika merasmikan Dewan Khalid Kadir di sini hari ini.

Majlis penuh penghormatan itu turut diserikan dengan kehadiran balu Allahyarham, Prof. Emeritus Datin Dr. Norella Kong serta ahli keluarga.

Sementara itu, tambah Mohamad, Dewan Khalid Kadir akan terus menjadi medan ilmu, penganjuran syarahan, seminar, bengkel dan pelbagai program ilmiah sejajar dengan semangat pembelajaran sepanjang hayat.

“Kami bukan sahaja mengenang jasa beliau, malah mengangkat warisan intelektualnya agar terus menjadi inspirasi kepada generasi pelapis, khususnya pelajar dan penyelidik dalam bidang perubatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN