KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah tidak melatah apabila nama serta popularitinya dianggap lebih menyerlah kerana kontroversi berbanding bakat yang dimiliki.
Menurut Bella, setiap kontroversi yang berlaku terjadi di luar kawalannya meskipun sudah sedaya upaya menjaga keseimbangan dalam kerjaya seni.
“Perkara itu di luar kawalan saya. Saya sudah cuba sedaya upaya seimbangkan kerjaya dari segi nyanyian dan lakonan.
“Tapi, seperti yang semua tahu. Saya bukan sahaja bekerja sebagai seorang penyanyi dan pelakon. Saya juga buat kempen dan kolaborasi.
“Itu semua adalah kerja dan rezeki yang Allah beri untukanak-anak saya. Mahu tidak mahu saya perlu teruskan juga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bella yang baru sahaja muncul menerusi lagu Lebih Indah Berpisah itu berharap agar setiap hasil karyanya diterima dengan baik kerana bakat dan bukan kontroversi.
“Apa yang viral itu sebenarnya bukan dari saya dan bukan saya minta. Semuanya sudah terjadi seperti itu.
“Tetapi, kalau tanya saya sudah tentu saya mahu lagu-lagu saya menerima sambutan kerana sedap didengar bukan kerana kontroversi.
“Lagu ini asalnya memang sangatlah sedap. Lirik, melodi. And, itu yang Bella doa sekarang inilah. Semoga lagu ini diterima baik. Bukan kerana kontroversi,” ujarnya. – UTUSAN