Lapan penuntut UMT tidak mengaku pukul rakan hingga parah

Lapan penuntut UMT tidak mengaku pukul rakan hingga parah

LAPAN penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semasa dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai lapan penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu cedera parah, tahun lalu.

Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.

Tertuduh yang berusia antara 21 tahun hingga 23 tahun didakwa bersama dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas mangsa yang berusia 21 tahun di sebuah kolej di UMT Kuala Nerus, di sini antara pukul 1.30 pagi hingga 5 pagi, 15 Disember tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azizan Abdullah, Nur Nabihah Hanin Ayim dan Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah menetapkan 6 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin. Mereka juga dikenakan syarat tambahan agar tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Terdahulu, seramai 12 pelajar di sebuah IPTA di negeri ini dilaporkan ditahan polis bagi membantu siasatan kes membelasah rakan mereka di kolej kediaman universiti tersebut pada pertengahan Disember tahun lalu.

Mangsa yang juga pelajar di IPTA itu dilaporkan cedera dengan kesan lebam akibat dipukul dengan objek tumpul di bahagian lengan kiri dan kanan, pinggang sebelah kanan, dada, perut dan kaki kanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN