Laluan Gerik-Jeli rekod 214 nahas dalam tempoh 5 bulan 

Laluan Gerik-Jeli rekod 214 nahas dalam tempoh 5 bulan 

NOOR HISAM NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 214 kes kemalangan jalan raya termasuk lima kejadian maut dilaporkan berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dari  Januari hingga Mei tahun ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kereta merekodkan jenis kenderaan tertinggi dalam kes kemalangan bagi tempoh sama iaitu 147 kes diikuti kenderaan pelbagai guna atau van (39), motosikal (24), kenderaan pacuan empat roda (30) dan lori (16).

Katanya, kemalangan melibatkan kenderaan berat pula menunjukkan trend yang konsisten sejak tiga tahun lalu.

“Dalam tempoh dua tahun setengah ini, sebanyak 850 kes kemalangan direkodkan di JRTB di mana pada tahun 2023, sebanyak 332 kes kemalangan dengan sembilan kes maut dan 304 kes kemalangan dengan lima kes kematian pada tahun lalu.

“Pada tahun ini, satu kes melibatkan bas persiaran yang membawa pelajar UPSI manakala 16 kes melibatkan lori. 

“Tahun lalu, enam bas dan 30 lori terlibat dalam kemalangan manakala pada tahun 2023 pula sebanyak empat bas dan 43 lori terlibat dalam nahas di laluan sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas dakwaan bahawa pengguna JRTB memandu laju dan menjadikan laluan tersebut sebagai litar lumba, Noor Hisam berkata, perkara itu perlu disahkan dengan data statistik.

“JRTB bermula dari simpang ‘y’ Kuala Rui hingga ke Jeli dengan mengambil masa hampir dua jam perjalanan. Penempatan penduduk pula adalah tertumpu di kawasan Bandariang, Bersia dan Kuala Rui.

“Dakwaan yang dibuat penduduk berhubung isu pemanduan laju itu bersifat terbuka. Tanpa data dan statistik pemantauan lengkap, pihak kami tidak dapat mengesahkan secara rasmi perkara tersebut,” katanya.

Noor Hisam berkata, Had Laju Persekutuan di JRTB adalah maksimum pada kadar 90 kilometer per jam (km/j) dan minimum 30 km/j.

“Kelajuan menuruni bukit pula ditetapkan antara 40 hingga 60 km/j bergantung kepada lokasi dan bilangan lorong,” katanya.

Mengenai kekangan dihadapi polis untuk menjalankan operasi di kawasan tersebut, Noor Hisam berkata, faktor geografi dan persekitaran menjadi antara cabaran utama.

“Pelbagai operasi telah dijalankan pihak polis di laluan berkenaan.

“Bagaimanapun, pelaksanaan operasi turut berdepan pelbagai kekangan termasuk kekurangan kenderaan bersesuaian, struktur jalan berbukit yang menyukarkan pelaksanaan sekatan jalan raya serta gangguan hidupan liar seperti harimau, gajah dan serangga berbisa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×