Dalam dunia hiburan yang selama ini didominasi oleh naratif Barat,boleh dikatakan, pelakon-pelakon Asia dan Kepulauan Pasifik seringkali diketepikan daripada arus perdana.
Selama beberapa dekad, industri perfileman Hollywood membentuk satu landskap yang mengehadkan ruang dan peluang bagi wajah-wajah dari Asia untuk bersinar.
Watak-watak yang ditawarkan kepada mereka lazimnya berpaksikan stereotaip lama, sama ada sebagai tukang masak, jurulatih kung fu, atau figura eksotik yang tidak berdimensi, jauh daripada gambaran sebenar identiti mereka yang pelbagai dan kaya budaya.
Namun, arus kini semakin berubah. Di sebalik keterbatasan itu, muncul bintang-bintang yang tidak hanya melangkaui batas stereotaip, tetapi juga berjaya membawakan watak yang sarat dengan emosi, kepelbagaian identiti dan penghormatan terhadap akar budaya mereka.
Berikut adalah antara beberapa pelakon Hollywood yang berkongsi sedikit sebanyak mengenai pengalaman mereka mengenai situasi ini yang membawa mereka kembali kepada akar umbi masing-masing.
Hailee Steinfeld
Membawakan watak Mary dalam filem Sinners, kata pelakon ini, ia membuatkan dirinya berasa lebih rapat dengan mendiang datuknya, yang merupakan keturunan kulit hitam dan Filipina.
“Menjayakan watak itu, ia memberi peluang buat saya secara tidak langsung untuk memahami sejarah keluarga saya dengan lebih mendalam, itu membuatkan saya rasa sangat bersyukur.
“Ia memberi kesan yang begitu besar kepada diri saya secara peribadi. Saya rasa ia menyentuh hati kita semua secara peribadi dan mendalam, dan saya percaya anda dapat merasainya dan melihatnya apabila anda menonton filem ini.
“Saya sangat bersyukur atas hubungan peribadi yang mendalam yang kami semua miliki (menerusi filem ini), apa yang boleh saya katakan, ia membuatkan saya mahu mengetahuu sejarah keluarga saya, dengan datuk saya,”katanya.
Dev Patel
Dalam satu temubual bersama Deadline, Dev Patel berkongsi bahawa wataknya sebagai Saroo dalam filem Lion sangat dekat dengan perjalanan peribadinya dalam mengenali negara India.
Menurutnya, perjalanan Saroo membuatkannya teringat kepada pengalaman sendiri, tentang kembali ke tanah asal.
Dev bercerita bahawa dia pernah ke India sewaktu kecil untuk menghadiri majlis perkahwinan keluarga di Godhra, tetapi ketika itu dia tidak benar-benar memahami budaya atau suasana di sana.
Semuanya mula berubah apabila dia membintangi filem Slumdog Millionaire. Semasa penggambaran bersama pengarah Danny Boyle, dia mula merasai dan mengenali budaya India dengan lebih mendalam dan pengalaman itu memberi impak besar dalam hidupnya.
“Dulu saya cuba sembunyikan asal-usul saya supaya saya boleh ‘masuk’ dengan orang lain dan elak daripada dibuli di sekolah.
“Saya pernah rasa rendah diri tentang identiti saya sendiri. Tapi kini, selepas banyak kali kembali ke India dan bekerja di sana, saya jadi benar-benar tertarik dengan budaya dan negara itu. Ia kini menjadi sumber inspirasi yang besar dalam hidup saya,”katanya.
Charles Melton
Membawakan watak Daniel Bae dalam filem The Sun Is Also a Star, Charles memaklumkan bahawa filem itu memberi pandangan yang lebih manusiawi terhadap isu imigrasi.
“Saya teringatkan ibu saya yang berhijrah ke Amerika selepas bertemu dengan ayah saya pada tahun 1990.
“Saya masih ingat proses yang perlu dilaluinya untuk menjadi warganegara Amerika Syarikat. Banyak soalan yang ditanya, seperti ‘Siapa Presiden ke-40?’, ‘Siapa calon gabenor negeri Texas?’, dan ‘Siapa yang bertanding untuk majlis bandar?’
“Syarat-syarat ini memang unik, kerana negara ini sebenarnya dibina oleh para imigran. Tapi kini, status seseorang sebagai rakyat Amerika ditentukan oleh jawapan atas kertas sahaja, dan itu sesuatu yang agak pelik,” katanya.
Charles turut berkongsi bahawa dia berasa lucu bagaimana sistem imigrasi kini kelihatan ketat dan rumit, sedangkan asas negara tersebut sendiri lahir daripada impian dan harapan para imigran.
“Apa yang saya suka tentang filem ini ialah bagaimana ia bantu orang ramai untuk lebih memahami dan merasai kisah para imigran.
“Biasanya bila orang dengar tentang polisi imigrasi, mereka hanya nampak dari luaran sahaja. Tapi dalam filem ini, kita tunjukkan sisi peribadi, kita lihat mereka sebagai manusia, bukan hanya sebagai ‘label’ seperti imigran, orang Asia, atau orang kulit hitam,” jelasnya.
Henry Golding
Pelakon ini memaklumkan, watak Kit dalam filem Monsoon menarik perhatiannya kerana ia menggambarkan perasaan tersisih yang pernah dia alami sendiri.
“Saya dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia, dengan ayah berketurunan British dan ibu berketurunan Malaysia. Kemudian saya berpindah ke UK. Tapi sepanjang masa, saya rasa saya tak cukup ‘British’, dan dalam masa yang sama, saya juga tak rasa cukup ‘Asia’.
“Apabila saya berada di kedua-dua tempat ini, saya selalu tertanya-tanya, ‘Siapa saya sebenarnya?’. Perasaan keliru tentang identiti inilah yang turut dialami oleh watak Kit,” katanya.
Dalam filem itu, Kit pulang ke Vietnam untuk mencari tempat persemadian abu ibu bapanya dan pada masa yang sama cuba mengenali asal-usul dan latar belakang keluarganya.
“Seperti kebanyakan orang, dia datang ke sana dengan semangat dan rasa yakin, dia fikir, ‘Saya orang Vietnam. Saya datang ke bandar ini dan ia akan terasa seperti pulang ke rumah.’
“Tapi ia tidak semudah itu. Dia tak boleh bertutur dalam bahasa tempatan, tak pernah membesar dalam budaya Vietnam, dan datang dari UK yang sangat berbeza. Semua perbezaan dari segi bunyi, bau dan cara hidup benar-benar mengejutkan,” jelasnya.
Elizabeth Yu
Dalam satu temu bual, Elizabeth Yu pernah memaklumkan bahawa dia membesar di sebuah bandar kecil yang sangat konservatif dan majoriti penduduknya berkulit putih.
“Saya salah seorang daripada hanya tiga pelajar Asia di seluruh daerah sekolah saya dan seorang lagi ialah adik saya sendiri. Sukar untuk membesar dalam persekitaran seperti itu, lebih-lebih lagi sebagai anak berdarah campuran.
“Saya rasa seperti saya boleh ‘masuk’ dengan orang lain, tapi dalam masa yang sama saya tetap rasa saya berbeza,”ujarnya.
Selepas mendapat watak dalam Avatar: The Last Airbender dan bekerja dalam filem May December, Elizabeth mengakui hidupnya berubah sepenuhnya.
“Sebelum ini, saya tak pernah pun berada dalam satu bilik bersama lebih daripada 10 orang Asia. Tapi melalui projek-projek ini, saya dapat mengenali dan memahami apa maksud sebenar menjadi orang Asia, jauh lebih banyak berbanding apa yang saya tahu sepanjang 20 tahun pertama hidup saya.
“Saya masih dalam proses belajar dan faham, sebab setiap hari ada sahaja perkara baru yang saya sedar tentang identiti saya,” katanya.
Elizabeth juga berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Charles Melton, Piper Curda, dan Gabriel Chung dalam May December.
Menurutnya, mereka semua berkongsi latar belakang yang hampir sama, semuanya separuh berketurunan Korea. Piper dan Charles separuh Korea, separuh kulit putih, manakala Gabriel separuh Korea dan separuh Brazil.