Koperal mangsa kes langgar lari cedera parah

Koperal mangsa kes langgar lari cedera parah

MOTOSIKAL ditunggang anggota polis berpangkat koperal dalam kemalangan langgar lari di Jalan Bukit Nenas, Seremban, Negeri Sembilan. FOTO : IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera parah dalam kejadian langgar lari melibatkan motosikal ditungganginya dan sebuah kenderaan lain di  Jalan Bukit Nenas di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, mangsa, Mohd. Fairus Khamis, 42, yang bertugas di Balai Polis Rahang dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Muhd. Amrul Yazid Anuar berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz seorang diri dari arah Sendayan menghala ke Sungai Ujong telah mengalami cedera parah akibat kemalangan itu.

“Siasatan awal mendapati, apabila mangsa sampai di lokasi kejadian, motosikalnya hilang kawalan selepas dihimpit dan bergesel dengan sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti.

“Akibatnya, motosikal mangsa terbabas ke bahu jalan sebelah kiri manakala kenderaan terbabit dikatakan terus melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Muhd. Amrul, kejadian itu menyebabkan mangsa yang mengalami patah tulang rusuk, cedera pada bahagian bahu dan kepala, kini berada di Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk rawatan lanjut dan difahamkan perlu dibedah segera kerana pendarahan serius di kepala.

“Polis kini sedang mengesan kenderaan yang menghimpit motosikal mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta saksi kejadian tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Syakinah Ahmad di talian

017-9013429 bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN