PETALING JAYA: Ketegangan yang semakin memuncak antara Iran dan Israel ketika ini bukan sahaja mengancam kestabilan Asia Barat malah berpotensi menjadi pencetus kepada Perang Dunia Ketiga, sekali gus memberi kesan besar kepada ekonomi dan keselamatan global, termasuk Malaysia.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, krisis ini perlu dipandang serius oleh kerajaan kerana ia melibatkan pertembungan kuasa besar dunia melalui konflik proksi.
“Keadaan sangat tidak stabil. Iran menyerang balas melalui ruang udara negara lain dan tindakan Jordan memintas peluru berpandu di ruang udaranya dibenarkan dalam undang-undang antarabangsa.
“Namun yang membimbangkan adalah kuasa besar seperti China dan Russia yang menyokong Iran, manakala Israel disokong kuat oleh Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Iran baru-baru ini dilaporkan menghantar lebih 100 dron ke wilayah Israel sebagai tindak balas serangan rejim itu ke atas pelbagai sasaran di Teheran.
Serangan balas Iran itu selepas rejim Zionis lancarkan serangan sehingga membunuh Ketua Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Hossein Salami serta dua saintis nuklear terkemuka, Mohammad Mehdi Tehranchi dan Fereydoun Abbasi.
Mengulas lanjut, Salawati berkata, jika Iran melaksanakan amaran untuk menutup Selat Hormuz, iaitu laluan utama perdagangan global, ia akan memberi kesan langsung kepada Malaysia.
Jelas beliau, Selat Hormuz adalah salah satu laluan perairan paling strategik di dunia kerana mengendalikan kira-kira 20 peratus daripada perdagangan eksport minyak dan gas asli cecair (LNG).
Laluan sempit di antara Teluk Parsi dan Teluk Oman ini menjadi nadi penting kepada pengangkutan minyak mentah dari negara-negara pengeluar utama di Asia Barat ke pasaran antarabangsa.
Malah, ia adalah laluan laut penting di mana kira-kira satu pertiga perdagangan minyak global, iaitu antara 17 juta hingga 20 juta tong minyak mentah dan kondensasi akan melaluinya setiap hari.
Jika selat ini ditutup akibat konflik atau tindakan ketenteraan, kapal dagang terpaksa mengubah haluan ke laluan lebih jauh dan mahal, sekali gus meningkatkan kos logistik.
“Malaysia, sebagai negara yang sangat bergantung kepada import minyak serta pelbagai barangan makanan dari rantau tersebut, turut akan menerima kesan langsung sekiranya gangguan berlaku di Selat Hormuz.
“Selat itu menjadi laluan penting kapal dagang termasuk yang membawa minyak dan barangan keperluan ke negara kita.
“Jika laluan itu terganggu, kos logistik akan meningkat. Barang yang sudah mahal akan menjadi lebih mahal dan ini termasuk bahan api,” katanya.
Beliau berkata, serangan Israel terhadap Iran tanpa provokasi jelas adalah satu pelanggaran kepada Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Artikel 51 yang mengiktiraf hak sesebuah negara mempertahankan diri.
“Iran ketika itu sedang berbincang dengan AS mengenai isu nuklear. Tindakan Israel adalah agresif dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
“Malaysia tidak boleh kekal berkecuali. Kita perlu bersuara lantang dan desak agar Israel dihukum kerana mencetuskan konflik ini,” ujarnya.
Salawati berkata, kerajaan perlu segera menyelaras semua kementerian dan agensi berkaitan untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika konflik berlarutan.
“Kementerian Luar, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu tahu pelan tindakan masing-masing. Kita perlu ada pelan A, B dan C. Jangan tunggu rakyat sudah terkesan teruk baru mahu bertindak,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, konflik ini dijangka memberi kesan kepada industri minyak dan gas dunia, namun tidak secara langsung mencetuskan inflasi global yang besar.
Jelas beliau, Iran ialah pengeluar minyak kesembilan terbesar di dunia. Konflik ini boleh ganggu penawaran minyak, tetapi pemain besar lain dalam sektor ini mampu menampung kekurangan itu dalam tempoh sederhana.
Namun, katanya, sektor logistik, pengangkutan, perindustrian dan pertanian di seluruh dunia mungkin akan terjejas sekiranya harga minyak dunia terus meningkat.
“Hubungan dagangan Iran dengan banyak negara tidak kukuh akibat faktor geopolitik dan perbezaan pendirian. Oleh itu, kesan kepada perdagangan dunia mungkin terbatas.
“Malaysia adalah negara pengeksport minyak dan gas. Jika harga minyak meningkat, negara boleh meraih hasil tambahan berbilion ringgit, bukan sahaja daripada harga tetapi juga peningkatan permintaan,” katanya. – UTUSAN