PETALING JAYA: Kerajaan mengkaji pelaksanaan satu akta baharu yang membolehkan syarikat didakwa dan dipertanggungjawabkan sekiranya terdapat mangsa meninggal dunia akibat kegagalan serius di bawah pengurusan keselamatan oleh organisasi tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, akta tersebut adalah sama seperti diperkenalkan di United Kingdom (UK) dan dilihat sebagai satu keperluan di negara ini terutamanya membabitkan syarikat pengangkutan.
Katanya, kerajaan dalam masa yang sama juga mengkaji keperluan untuk meminda Kanun Keseksaan bagi memasukkan peruntukan membolehkan syarikat atau organisasi didakwa atas kesalahan kegagalan menjaga keselamatan sehingga membawa kepada kematian.
“Kerajaan mengkaji keperluan meminda Kanun Keseksaan atau memperkenalkan satu akta baru seperti yang diamalkan di UK iaitu UK Corporate Manslaughter and Corporate Homicide Act 2007 (Akta Pembunuhan Korporat dan Homisid Korporat UK 2007).
“Ia merupakan satu akta yg membolehkan sebuah syarikat didakwa atas kegagalan serius dalam cara syarikat itu menguruskan keselamatan pekerja atau orang awam dan kecuaian yang mengakibatkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akta Pembunuhan Korporat dan Homisid Korporat UK 2007 ialah undang-undang yang memperuntukkan kesalahan jenayah terhadap syarikat jika kematian seseorang berlaku disebabkan oleh pengurusan yang cuai secara serius oleh pihak atasan organisasi tersebut.
Semalam, seramai 15 individu dilaporkan maut dalam nahas membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.
Kejadian sekitar pukul 1 pagi itu melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). – UTUSAN