PUTRAJAYA: Sejumlah 41,434 calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2024 bakal mengetahui keputusan masing-masing pada Selasa depan.
Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) memaklumkan, calon boleh mendapatkan ringkasan keputusan masing-masing melalui kaedah semakan secara khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPMNo.K/PAngka Giliran dan hantar ke 15888.
Katanya, sistem ini akan diaktifkan mulai pukul 11 pagi pada 24 Jun sehingga pukul 12 tengah hari pada 4 Julai depan (Jumaat).
“Calon juga boleh menyemak secara dalam talian di pautan https://stpm.mpm.edu.my/stpmK untuk mendapatkan slip keputusan mulai pukul 11:30 pagi pada hari sama.
“MPM mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua calon STPM Tahun 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, sebanyak 70 buah pusat peperiksaan di seluruh negara terlibat STPM 2024 dan seramai 22,852 petugas peperiksaan dilantik bagi keseluruhan peperiksaan ini. – UTUSAN