Keputusan SPM kurang baik jadi pemangkin semangat cemerlang STPM

Keputusan SPM kurang baik jadi pemangkin semangat cemerlang STPM

SAPSIRIK Bunteng (empat dari kanan) dan Adibah Romli (kiri) bersama enam lagi pelajar cemerlang STPM yang mendapat PNGK 4.00 di SMK Kubor Panjang, Pendang, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Keputusan kurang memberangsangkan yang diperoleh ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi pemangkin semangat buat Sapsirik a/p Bunteng, 19, untuk bangkit semula ketika Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sehingga berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Sapsirik salah seorang daripada lapan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubor Panjang yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang sekali gus menjadikan sekolah itu bersama SMK Serdang, Kulim yang diangkat sebagai Sekolah Terbaik STPM 2024 di negeri ini oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.

Katanya, kejayaan yang diraihnya cukup bermakna kerana bukan sahaja menebus kekecewaan lalu, malah membuktikan usaha berterusan boleh memberi hasil yang diharapkan.

“Saya bukan pelajar genius atau pintar. Saya perlu ulang kaji berkali-kali, baca banyak kali baru faham kerana saya sudah nekad untuk jadikan STPM sebagai peluang kedua untuk tebus kekecewaan lalu.

“Setiap hari saya belajar antara empat hingga enam jam. Lepas sekolah saya rehat sekejap, kemudian sambung dua jam. Waktu malam pula saya ulang kaji dari pukul 8 hingga tengah malam,” katanya di sini semalam.

Anak sulung dari tiga beradik itu berkata, kejayaannya juga hasil sokongan berterusan ibu bapa dan guru-guru yang banyak membantu memberi panduan dan motivasi.

Menurutnya, pencapaian tiga semester sebelum ini tidak pernah mencecah PNGK 3.50, justeru keputusan PNGK 4.00 amat mengejutkan dan mengembirakannya.

“Bapa saya hanya kerja kampung manakala ibu seorang petugas kaunter sahaja, jadi saya harap dengan keputusan ini dapat melayakkan saya menyambung pelajaran dalam bidang perguruan untuk mencapai cita-cita menjadi guru Sejarah dan mengubah nasib keluarga,”katanya.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Adibah Romli, 19, turut menganggap STPM sebagai peluang untuk membuktikan kemampuannya selepas gagal menyerlah semasa SPM.

Adibah berkata, peluang melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam ini digunakan dengan sebaik mungkin untuk meraih keputusan cemerlang sehingga dapat melayakkan dirinya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

“Dulu saya tidak dapat keputusan yang baik masa SPM. Tetapi saya ubah pendekatan semasa STPM, lebih fokus dan berusaha sepenuhnya.

“Alhamdulillah dengan kejayaan ini saya dapat menebus kekecewaan lalu sekali gus dapat membanggakan kedua ibu bapa dan guru-guru yang banyak membantu saya selama ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN