KUALA LUMPUR: Kes saman ibu model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit yang ditemukan maut selepas jatuh kondominium, enam tahun lalu terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia akan diputuskan pada 15 Julai ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendengar hujahan-hujahan daripada pihak-pihak terlibat.
Pada prosiding hari ini, ibu Ivana, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen diwakili peguam, Datuk Sankara Nair manakala PDRM dan kerajaan diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Nur Edziani Roleb dan Siti Aishah Ramlan serta Peguam Persekutuan, Nuur Zul Izzati Zulkifli.
Christina memfailkan saman pada 20 November 2020 dengan menamakan Ketua Polis Negara (KPN), pegawai penyiasat, Asisten Superintenden, Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.
Pada 21 April 2021, Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman Christina atas alasan pernyataan tuntutan wanita terbabit tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Bagaimanapun pada 7 Februari 2022, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Christina dan memerintahkan saman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar.
Anak wanita itu, Ivana Smit ditemukan mati pada 7 Disember 2018 dalam keadaan bogel di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat enam kondominium di Persiaran Capsquare di sini, selepas jatuh dari tingkat 20.
Susulan tidak puas hati tersebut, satu inkues kematian Ivana diadakan di Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bermula pada 8 Ogos 2018 dengan 22 orang saksi dipanggil memberi keterangan.
Pada 8 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana disebabkan misadventure (kematian akibat nahas) dan tiada elemen jenayah.
Bagaimanapun, pada 22 November 2019, Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan keputusan Koroner dan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta polis menyiasat punca kematian model berusia 19 tahun itu.
Hakim Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dalam keputusannya menyatakan, kematian model itu adalah disebabkan ‘individu yang dikenali atau tidak dikenali’ dan tidak ada penyiasatan yang mencukupi dijalankan oleh pihak berkuasa. – UTUSAN