HULU TERENGGANU: Kesusahan hidup lapan sekeluarga yang terpaksa tinggal di pondok usang dan minum air paya di Kampung Paya Besar, di sini, bakal berakhir apabila kesengsaraan mereka mendapat perhatian Pejabat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Terengganu.
Pengarahnya, Md. Razi Md. Lazim berkata, pihaknya akan berusaha membantu keluarga Mat Nasir Ismail, 48, menyelesaikan masalah kediaman yang dihadapi termasuk kemudahan bekalan asas elektrik dan air.
“Beberapa perkara sedang diteliti, melihat keperluan mereka dan kita sedang berusaha selesaikan masalah itu secepat mungkin.
“Buat sementara waktu, sebagai langkah segera kita tambah baik pondok didiami mereka terlebih dahulu untuk keselesaan keluarga ini. Kita cuba selesaikan sebelum Hari Raya Aidiladha ini,” katanya di Kampung Paya Besar, semalam.
Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga Mat Nasir yang kisahnya mendapat perhatian setelah keluarganya menjalani kehidupan penuh kedaifan di sebuah pondok berdindingkan kepingan atap dan bergantung kepada air paya sebagai sumber air sejak awal tahun ini.
Selain Mat Nasir, isterinya iaitu Mazilah Mansor, 47, serta lima anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) berusia antara 11 tahun hingga 22 tahun serta seorang menantu perempuan berusia 19 tahun dan seorang cucu berumur dua tahun setengah turut tinggal bersama.
Sementara itu, Mazilah berkata, keluarganya hanya mampu zahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap keluarganya.
“Aidiladha yang bakal tiba tentunya bertambah bermakna buat kami kerana tempat tinggal diduduki sekarang akan ada pintu serta dinding yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN











