PUTRAJAYA: Kehadiran pelakon dan penyanyi, Naim Daniel di Mahkamah Sesyen Putrajaya mencuri tumpuan sekali gus memberi bayangan bakal memberikan kerjasama bagi dakwaan kes melakukan amang seksual terhadap seorang remaja berusia 17 tahun.
Naim atau nama sebenar Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, tiba sekitar pukul 8:34 minit pagi lengkap berpakaian sut hitam ditemani ibunya, Nora Taherah.
Bagaimanapun Naim tidak mengulas sebab kedatangannya hari ini namun sempat menyapa dan memberikan salam kepada media.
“Assalamulaikum semua, InsyaAllah,” ujarnya ringkas ketika ditanya khabarnya pagi ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang pelakon dan penyanyi terkenal ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.
Mangsa dikatakan berkenalan dengan artis terbabit di sebuah kafe tempatnya bekerja sejak tiga bulan lalu.
Mereka kemudian dipercayai bertemu beberapa kali selepas perkenalan itu. Suspek kemudian dikatakan membawa mangsa bertemu di sebuah hotel dan didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 kerana telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.-UTUSAN