Kanak-kanak jatuh tingkat 30: Keterangan bapa diambil hari ini

Kanak-kanak jatuh tingkat 30: Keterangan bapa diambil hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis akan mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut selepas jatuh dari tingkat 30 sebuah pangsapuri di Jalan Jalil Impian 1 Bukit Jalil, dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Ridzuan Khalid berkata, keterangan lelaki itu akan diambil kira-kira pukul 9 malam ini.

Kata beliau, keterangan pakar dan saksi lain juga akan dirakam pada Selasa.

“Kes ini masih dalam siasatan pegawai penyiasat dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ibu dan bapa saudara kepada kanak-kanak lelaki itu telah direman sehari semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, kedua-dua mereka yang merupakan warga Indonesia berusia 27 dan 25 tahun, direman bagi membantu siasatan di bawan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Bapa kanak-kanak itu merupakan warga tempatan dan telah berkahwin dengan ibu mangsa yang merupakan warganegara Indonesia.

Hasil bedah siasatan yang dilakukan, kanak-kanak itu maut selepas mengalami pelbagai kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Jumaat lalu, polis dimaklumkan mengenai kejadian selepas menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 11.17 pagi daripada seorang lelaki.

Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai jatuh dari balkoni kediaman terletak di tingkat 30 salah sebuah blok di pangsapuri terbabit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN