‘Bukan kami tidak mahu beri anak makan, tapi Gaza tiada makanan’

‘Bukan kami tidak mahu beri anak makan, tapi Gaza tiada makanan’

MOHAMMED al-Mutawaq, bayi lelaki berusia 18 bulan terbaring lemah akibat kekurangan nutrisi susulan kebuluran di Gaza selepas rejim Israel menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Anak-anak Akram Basheer menangis akibat kelaparan namun, dia hanya mampu berjanji yang mereka boleh makan apa sahaja selepas perang berakhir.

Namun, Akram tahu, janji itu mungkin tidak dapat ditunaikan kerana dia tidak tahu sama ada dia masih bernyawa atau tidak apabila perang tamat.

Lebih sedih, Akram amat takut bila memikirkan anak-anaknya mungkin ‘pergi dahulu’ akibat kebuluran yang semakin serius.

“Saya tahu saya tidak boleh buat apa-apa ketika ini selain hanya berjanji kepada anak-anak yang mereka boleh makan apa sahaja bila perang tamat.

“Hati saya pedih, sedih, tapi apa pilihan yang saya ada? Saya cuma berharap kesemua janji ini dapat saya tunaikan kepada anak-anak saya,” katanya kepada Middle East Eye.

Akram, 39, tinggal bersama keluarganya di Deir al-Balah, tengah Gaza dan menghabiskan masanya setiap hari mencari makanan yang mencukupi untuk mengisi perut anak-anak dan ibu bapanya yang uzur.

Seperti hampir kesemua 2.1 juta populasi Gaza, Akram dan keluarganya juga berdepan krisis kebuluran susulan sekatan berterusan rejim Zionis terhadap bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.

Jika bernasib baik, Akram dan keluarganya dapat menikmati satu hidangan makanan, namun bukan setiap hari.

“Anak-anak saya banyak berubah akibat kebuluran, mereka tidak lagi ceria, hilang berat badan, sering tidur dan menangis kerana lapar.

“Bolehkah anda bayangkan perasaan saya sebagai seorang bapa?,” soalnya sebak.

MAKANAN TIDAK BERKHASIAT

Menurut Akram, walaupun dia kadang-kadang memperoleh makanan untuk anak-anaknya, kebiasaannya hidangan tersebut tidak mempunyai khasiat lengkap.

“Mereka tidak kenyang kerana makanan yang tidak berkhasiat, tapi itu lebih baik daripada langsung tidak makan bukan?,” katanya.

Akram memberitahu, penduduk dewasa juga terjejas apabila mereka kehilangan tenaga akibat kebuluran.

Disebabkan tidak bermaya, sedikit pergerakan menjadi amat penat buat mereka.

SEKATAN TIADA AKHIR

Pada 2 Mac, Israel menutup sepenuhnya sempadan Gaza, memutuskan hampir semua bantuan dan bekalan ke wilayah itu, termasuk barangan makanan asas, susu formula bayi, dan air minuman.

Laporan Integrated Food Security Phase Classification (IPC) menyatakan setakat Mei, kira-kira setengah juta penduduk Gaza berdepan kelaparan tahap bencana (IPC Fasa 5).

Keadaan sejak itu semakin merosot dengan cepat, sehingga keseluruhan 2.1 juta penduduk Gaza kini berada di ambang kebuluran.

“Krisis ini bermula apabila Zionis menutup lintasan sempadan pada awal Ramadan, tetapi ia menjadi semakin teruk kira-kira sebulan setengah yang lalu, apabila semua stok simpanan kami habis.

“Akhirnya, ia memang tidak mampu bertahan selama-lamanya. Kami sekeluarga besar dengan anak-anak yang sentiasa memerlukan makanan, dan semakin lama ia berlarutan, semakin sukar kami mendapatkan makanan asas,” kata Akram.

Bagi Basem Munir al-Hinnawi, kekurangan makanan asas bermula beberapa minggu yang lalu dengan sepanjang sebulan lepas, dia dan keluarganya hanya mampu makan roti sekali setiap empat atau lima hari.

Basem merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi dua keluarga sejak ayahnya terbunuh pada awal perang.

REBAH TEPI JALAN

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kesan fizikal akibat kekurangan zat makanan menjadi semakin tidak tertanggung.

“Sejak akhir-akhir ini, saya mengalami keletihan melampau dan sukar untuk bergerak. Saya sentiasa pening dan tubuh saya sangat kurus.

“Sejak perang bermula, saya sudah kehilangan 39 kilogram. Semua adik-beradik saya pula hilang antara 15 hingga 20 kilogram,” kata Basem.

Dia juga bertanya bagaimana untuk memastikan golongan kanak-kanak memahami situasi yang berlaku sedangkan keadaan amat mendesak.

“Bagaimana anak-anak kecil boleh faham yang bukan kami, ibu bapa mereka yang tak mahu beri mereka makan?

“Bagaimana untuk fahamkan mereka yang kini sudah tiada bekalan makanan untuk dimakan sehingga kenyang?,” Soalnya.

Apabila mereka berjaya memperoleh sedikit makanan, ianya hanya diberikan kepada anak-anak. Orang dewasa pula bertahan dengan hanya air dan garam.

Basem turut menceritakan bagaimana pasar-pasar di Gaza kini hampir kosong, dan rakyat terpaksa hidup berhari-hari tanpa makanan yang cukup.

“Baru semalam, ketika saya berjalan di kawasan Sheikh Radwan tempat saya kini berlindung, seorang wanita dalam lingkungan umur 40-an pengsan di tengah jalan kerana lapar,” katanya.

“Orang ramai mengangkatnya dan baringkan dia di tepi jalan sehingga seorang datang dari rumah membawa sesudu gula lalu menyuapkannya. Perlahan-lahan wanita itu kembali sedar dan mampu berdiri semula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×