Rendah diri kerana hidap penyakit kulit

Rendah diri kerana hidap penyakit kulit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN

Saya baru dibuang kerja kerana penyakit kulit kronik, ada anak autisme dan suami baru terlibat kemalangan, patah tangan. Saya ada perniagaan dalam talian tetapi kurang yakin untuk menjual kerana takut orang jijik. Saya buntu dan penat, tetapi perlu bangkit untuk keluarga. Mohon bantuan.
Isteri derita

JAWAPAN

Dalam kehidupan berkeluarga, wanita sering menjadi tunjang kekuatan. Namun, apabila diuji dengan kehilangan kerja, menjaga anak autisme dan suami tidak sihat, ketabahan isteri benar-benar diuji. Cabaran hidup ini bukan sahaja menjejaskan emosi dan kewangan malah melemahkan keyakinan diri. Berikut beberapa cadangan sebagai rujukan.

Terima kekurangan diri – Belajar terima keadaan diri tanpa rasa malu. Penyakit kulit kronik bukanlah aib dan ia tidak menentukan nilai diri anda. Tukar perspektif daripada ‘takut orang jijik’ kepada ‘saya mahu bantu orang’. Perubahan minda ini boleh menjadi kekuatan dalam perniagaan dan membina semula keyakinan diri.

Fokus perniagaan – Gunakan media sosial dengan strategi yang tidak memerlukan anda tampil di kamera. Ambil gambar produk, tulis kapsyen dan gunakan platform Shopee, TikTok Shop untuk promosi. Ramai usahawan berjaya dengan hanya penulisan digital.

Sokongan Psikososial – Jangan segan untuk mohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), zakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau keluarga orang kurang upaya (OKU). Sokongan kewangan boleh memberi sedikit ruang untuk anda tenangkan emosi dan mengurus bisnes dengan lebih perlahan dan teratur.

Sertai komuniti Sokongan – Cari kumpulan sembang yang menghimpunkan ibu yang ada anak autisme, penghidap penyakit kulit atau komuniti usahawan wanita. Di sini, anda boleh berkongsi cerita, bertukar pandangan dan mendapat semangat daripada mereka yang pernah melalui kesusahan yang sama.

Jaga kesihatan diri – Sebanyak mana pun bebanan yang ditanggung, jangan abaikan diri sendiri. Ambil sedikit masa untuk solat, zikir dan menulis jurnal. Ruang kecil ini mampu memberikan anda kelegaan. Kekuatan seorang ibu lahir daripada jiwa yang tenang walaupun hidup serba kekurangan.

Letak matlamat kecil – Jangan paksa diri untuk bangkit terlalu cepat. Mulakan dengan matlamat kecil dan boleh dicapai seperti ‘bungkus tiga pesanan sehari’ atau ‘tulis satu hantaran produk sehari.’ Lama-kelamaan, rutin ini akan membina semangat dan mengembalikan keyakinan diri secara semula jadi.

Kesimpulan, fasa sukar bukanlah penamat, tetapi langkah awal menuju perubahan. Kekuatan wanita terletak pada hati yang tabah dan semangat yang tidak mudah mengalah demi keluarga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×