PETALING JAYA: Rundingan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) berhubung penurunan tarif menjelang tempoh akhir sebelum dilaksanakan pada 1 Ogos ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan bukan semata-mata mengikut rentak satu pihak sahaja.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, perbandingan terus dengan negara jiran seperti Indonesia tidak wajar dijadikan penanda aras utama memandangkan struktur industri dan tahap pembangunan tempatan adalah berbeza.
“Negara masih memerlukan masa serta sumber untuk memperkukuh kapasiti industri tempatan agar dapat bersaing secara efektif dengan pemain antarabangsa.
“Justeru, penekanan perlu diberi kepada keseimbangan antara kepentingan ekonomi dan kedaulatan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, semua negara ketika ini sedang giat mempelbagaikan rakan dagangan masing-masing bagi menyesuaikan diri dengan lanskap perdagangan global yang semakin mencabar.
Menurutnya, antara contoh yang ketara ialah usaha Kesatuan Eropah dan United Kingdom (UK) dalam memperluas jaringan perdagangan serta kebangkitan negara-negara BRICS yang dijangka memainkan peranan lebih besar pada masa hadapan.
Sementara itu, beliau berkata, sebarang keputusan mengenai penurunan tarif perlu bergantung kepada hasil perbincangan menyeluruh yang dikendalikan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Saya yakin MITI akan mengemukakan tawaran yang munasabah supaya suatu keseimbangan dapat dicapai antara membuka ruang kepada syarikat AS untuk berdagang di Malaysia dan pada masa sama memelihara kepentingan negara,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa sebarang kelonggaran yang ditawarkan Malaysia hendaklah bersifat terancang dan bersasar.
“Kelonggaran dalam konteks meningkatkan persaingan serta skala ekonomi adalah langkah positif.
“Bagaimanapun, ia memerlukan strategi pelaksanaan yang teliti memandangkan pembinaan kapasiti bagi industri tempatan tidak berlaku dalam tempoh singkat.
“Malah, isu tarif ini juga boleh menjadi peluang lonjakan bagi syarikat tempatan agar dapat meningkatkan keupayaan mereka untuk bersaing secara lebih kompetitif,” katanya. – UTUSAN










