PETALING JAYA: Jumlah permohonan kemasukan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) meningkat daripada 140,000 kepada 189,304 bagi pengambilan Julai 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peningkatan itu menunjukkan keyakinan rakyat terhadap laluan pendidikan teknikal yang kini diarus perdana sebagai salah satu teras pembangunan negara.
“Bagi pelajar-pelajar yang mempunyai Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tetapi tidak dapat memasuki mana-mana universiti disebabkan tempat penuh, kita ingin menawarkan Malaysian Technical University Network (MTUN).
“Ada enam universiti terutamanya di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Dasar Wilayah (KKDW) iaitu UniKL untuk mereka memilih kursus-kursus yang diminati dan bersesuaian, serta Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
“Jadi, bagi mereka yang tidak dapat masuk, kita akan tawarkan peluang ini. Ini untuk semua bangsa,” katanya di sini hari ini.
Katanya, kursus yang ditawarkan di UniKL adalah dalam bidang teknikal, manakala kursus di UPTM pula dalam bidang profesional.
Tambahnya, mana-mana pelajar dengan kelulusan yang baik dalam STPM boleh memohon untuk memasuki kursus asas di UniKL atau UPTM. – UTUSAN