JOHOR BAHRU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan waris seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di sebuah pusat perlindungan di bandar raya ini, April lalu bersama sekeping nota menyatakan bayi itu diberi nama sebagai Inara Aisyah.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, Norhafizah Ahmad berkata, bayi dipercayai berusia beberapa hari ditemukan dalam keadaan sempurna dan ditinggalkan di dalam peti itu bersama nota mencatatkan nama, tarikh dan masa kelahiran bayi.
Katanya bayi perempuan itu ditemukan oleh pengurus Orphan Care Foundation Cawangan Johor Bahru pada pukul 1.15 pagi, 19 April lalu setelah penggera di pusat perlindungan itu berbunyi setelah terdapat pergerakan dalam peti perlindungan.
“Petugas pusat perlindungan itu memeriksa peti perlindungan tersebut dan mendapati terdapat seorang bayi perempuan di dalamnya,” katanya semalam.
JKM menerima rujukan daripada Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas pihaknya selesai menjalani rawatan dan pemeriksaan kesihatan.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan pegawai perubatan, bayi itu tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang serius dan dibenarkan dibawa pulang, namun sehingga kini tiada mana-mana pihak mahupun waris yang tampil untuk membuat tuntutan terhadap bayi berkenaan.
JKM memohon perintah di bawah Subseksyen 30(7) Akta Kanak-kanak 2001 dan bayi itu kini ditempatkan di bawah pemeliharaan pihak Orphan Care Foundation Cawangan Johor Bahru, manakala orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan waris bayi diminta menghubungi Pelindung, JKM Daerah Johor Bahru, Jamalluddin Hassan di talian 07-2330329. – UTUSAN











