BACHOK: Ahli UMNO dinasihatkan supaya tidak berasa rendah diri atau takut berdepan Pas dalam memperkata tentang perjuangan Islam dalam negara ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia berikutan perlembagaan parti yang telah diubah dengan meletakkan perjuangan Islam sebagai keutamaan parti.
Katanya, beliau telah mengingatkan UMNO Bahagian Bachok secara langsung dan kepada perwakilan UMNO seluruh negara secara tidak langsung mengenai perkara tersebut.
“Dalam perlembagaan parti yang telah kita pinda, jelas tertulis pada helaian pertama bahawa UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita agama Islam.
“Dan kita memperingatkan bahawa perkara 3.3 kini dinaikkan menjadi 3.1, iaitu menegak, mempertahan serta mengembangkan Islam sebagai Agama Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bachok, di Teratak Pulai, di sini hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini tidak ada disebut perkataan parti politik yang berjuang mendukung cita-cita agama Islam dan hanya menyebut UMNO adalah sebuah parti politik kebangsaan Melayu.
Sementara itu, menurutnya, keputusan menarik balik atau memendekkan tempoh penggantungan keahlian ke atas Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein perlu dirujuk terlebih dahulu kepada MKT UMNO.
Beliau berkata, ia berikutan keputusan penggantungan itu dibuat oleh MKT dan sebarang keputusan berkaitan perlu dibuat dalam Mesyuarat MKT .
“MKT UMNO akan bermesyuarat pada 30 Jun ini, iaitu pada Isnin di sebelah malam. Itu (penggantungan Hishammuddin) keputusan MKT yang kita akan rujuk kembali kepada MKT. Kalau ada sesiapa membangkitkan, kita akan beri maklum balas.
“Perkara ini ditimbulkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong dan kalau beliau membangkitkan kepada MKT, kita akan memperbincangkannya,” katanya. – UTUSAN










