PETALING JAYA: Pelakon, Hisyam Hamid, menegur tindakan pasangan yang saling membuka aib rumah tangga kepada umum.
Jelas Hisyam atau Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 39, perbuatan ini dilihat hanya memuaskan hati sebelah pihak namun memberi kesan jangka masa panjang kepada emosi anak-anak.
“Kalau kita lihat, bila seseorang itu kongsi aib pasangan, mereka hanya mahukan sokongan masyarakat sahaja. Sokongan itu yang jadikan senjata.
“Saya fikir ia tidak sihat, simpan antara berdua sahaja. Dulu masa gembira apa jadi dalam bilik awak tak kongsi pun, kenapa bila begini semua mahu dicerita di media sosial?,” katanya ketika sesi fotografi drama Lambaian Huda, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon Andai Tiada Dia itu juga melihat tidak adil untuk anak-anak menjadi mangsa tempias sebarang kontroversi yang dimulakan ibu bapa.
“Benda ini nampak macam tiada apa-apa tapi ia semenangnya akan beri kesan kepada mereka.
“Bayangkan anak kita pergi sekolah, orang tanya macam-macam. Pengalaman saya sendiri, anak saya juga terkesan bila ada berita tentang saya.
“Sampaikan suatu masa dia tak boleh dengar orang tanya ‘are you okay’. Setiap orang akan beri respons berbeza apabila
menghadapi sesuatu perkara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hisyam menegaskan dia sangat menjaga hubungan dengan dua orang anaknya, Nurish Syameliah,18 dan Haydeen, 16.
“Sekarang hubungan saya dan anak memang rapat. Mereka akan kongsi segalanya dengan saya. Apalagi mereka semua di usia remaja.
“Ada cerita lucu juga bila anak saya tiba-tiba tanya pendapat tentang kahwin awal. Memang kita akan rasa ‘eh’ tapi saya kawal dan jawab soalan itu. Saya tak mahu anak-anak cari orang lain dulu kalau ada masalah.
“Apa yang saya lakukan selaku fikirkan anak-anak. Saya tak mahu publisiti buruk. Bayangkan segala apa yang kita ajar musnah sebab mereka fikir ‘bapa aku boleh buat’,” jelasnya.
Terdahulu pada Mei 2024, Hisyam mengumumkan sudah bercerai dengan isteri, Rosmawati Hanafi.
Bagaimanapun, kedua-duanya berdiam diri dan tidak berkongsi sebarang jawapan ketika ditanya mengenai punca perpisahan.
Tambah Hisyam lagi, dia dan bekas isteri yang mesra disapa Mel masih meneruskan kehidupan sebagai sahabat dan memelihara hubungan baik. –UTUSAN