Jangan anggap saya sempurna – Isyariana - Utusan Malaysia

Jangan anggap saya sempurna – Isyariana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“INSYA-Allah, ini keputusan akhir.”

Demikian perkongsian pelakon, Isyariana berkenaan keputusan mengenakan hijab. Pelakon ini akhirnya ‘membulatkan’ nurani ke arah kebaikan.

Kongsi Isyariana, keputusan itu bukan kerana manusia, sebaliknya sang pencipta.

“Saya harap dapat istiqamah. Bertudung ini bukan kerana sesiapa, hanya sebab Allah SWT.

“Tapi, janganlah anggap saya ini sempurna. Kerana tutup aurat, saya tak melakukan kesalahan.

“Dalam fasa ini, saya mahu fokus dalaman dahulu, bersihkan hati. Doakan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Isyariana berkata demikian ketika ditemui pada tayangan filem Balas Balik, baru-baru ini.

Pelakon berusia 34 tahun ini mula terdetik untuk mengenakan hijab selepas dia pulang dari Tanah Suci sekitar Ramadan lalu.

“Awal dahulu memang mencabar. Disebabkan tidak biasa, saya rasa panas bila memakai hijab. Masa itu hati saya berbolak balik sampaikan saya sendiri persoalkan, bolehkah saya bertahan?

“Saya minta Allah permudahkan. Macam-macam saya lakukan, doa, buat solat tahajud dan sebagainya. Saya minta Allah campakkan rasa seronok bertudung walaupun rasa rimas dan panas.

“Alhamdulillah, lepas satu bulan Allah jawab doa saya, makbulkan permintaan. Sekarang saya semakin selesa bertudung,” kongsinya.

Pemilik nama penuh Isyariana Che Azmi ini tidak menolak, doa ibunya antara asbab yang mempermudahkan keputusannya itu.

“Ibu tak pernah paksa (berhijab). Pernah saya pakai hijab sebelum ini, dia suka. Saya kata tolong doakan sebab ketika itu saya tak pasti akan kekal berhijab atau tidak.

“Dan sebelum ini juga saya pernah mengikuti usrah, sertai kelas taddabur yang dianjurkan ustaz Wadi Anuar.

“Masa itu juga terdetik dalam hati, Allah sudah terlalu baik kepada saya, kenapa saya pula tak ikut perintahNya. Itu antara asbab yang menguatkan untuk saya berhijab,” jelasnya.

REZEKI TUHAN TENTUKAN

Tidak dinafikan, ada artis yang beralih arah dengan menanggalkan hijab atas alasan tawaran lakonan semakin kurang.

Namun Isyariana berpandangan sebaliknya. Katanya, dia percaya rezeki ketentuan Tuhan justeru tidak khuatir mengenai tawaran lakonan.

“Dulu, saya juga fikir begitu. Tawaran berlakon tentunya terjejas kalau saya berhijab.

“Ternyata sangkaan saya meleset. Rupanya, banyak produksi tawarkan berlakon walaupun saya sudah berhijab.

“Rezeki tidak tersekat pun. Bergantung kepada kita sahaja, percaya atau tidak rezeki itu Tuhan yang bagi,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN