PETALING JAYA: Tawaran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) agar ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kembali menerajui parti itu tidak memberi sebarang impak besar terhadap kedudukan organisasi berkenaan dalam landskap politik negara.
Pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, isu sebenar yang membelenggu Muda bukan semata-mata soal kepimpinan, sebaliknya kegagalan parti itu membina kepercayaan rakyat sejak awal penubuhannya.
“Isunya bukan sekadar siapa jadi Presiden, tetapi Muda sendiri masih kabur dari segi perjuangan dan hala tuju kepada rakyat.
“Syed Saddiq masih lagi belum mempunyai pengaruh dalam kalangan pengundi muda di kawasan tertentu dan belum cukup untuk mengangkat parti itu sebagai kuasa politik yang signifikan di peringkat nasional,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.
Khamis lalu, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) Muda menawarkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk kembali menerajui parti itu sebagai Presiden susulan keputusan
Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan pecah amanah.
Mazlan berkata, Muda juga perlu bersikap realistik terhadap kedudukannya sebagai sebuah parti kecil yang tidak memiliki struktur akar umbi yang kuat di seluruh negara.
“Realitinya, parti kecil seperti Muda tidak mampu bertahan tanpa bergabung dengan parti-parti lain.
“Kalau mereka mahu kekal relevan dalam politik arus perdana, gabungan adalah satu-satunya pilihan. Tanpa kerjasama strategik, Muda hanya akan terus kekal di pinggiran,” katanya.
Menurutnya, kekangan sumber dan keterbatasan capaian Muda kepada pengundi luar bandar juga menjadi antara faktor utama mengapa parti itu gagal melonjak naik meskipun kerap menampilkan pendekatan progresif.
“Mereka sering tampil dengan gaya anak muda, tetapi bila masuk gelanggang pilihan raya, prestasi mereka tidak menyerlah. Ini kerana pendekatan mereka belum benar-benar menepati realiti politik semasa,” katanya. – UTUSAN










