GEORGE TOWN : Isu keselamatan serta penambahbaikan infrastruktur jalan di laluan Timur-Barat yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya memandang serius kejadian kemalangan membabitkan sebuah bas yang mengorbankan sehingga 15 nyawa semalam dan menegaskan, perlunya tindakan segera diambil bagi meningkatkan keselamatan di laluan berkenaan.
“Perkara ini akan saya bangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok untuk kita lihat apakah langkah-langkah segera yang boleh diambil untuk menambah baik, khususnya dalam isu keselamatan di Lebuhraya Timur-Barat ini yang sememang menjadi perhatian kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program CruiseWorld Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Dalam insiden awal pagi semalam, seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disahkan maut manakala tujuh lagi parah apabila bas yang mereka naiki mereka terbabit dalam kemalangan dan terbalik di kawasan Lebuhraya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Perak.
Ketika ditanya mengenai keadaan infrastruktur jalan di laluan tersebut terutama berkaitan penghadang besi yang dikatakan ketinggalan berbanding negara maju, Anthony Loke berkata, aspek seperti penghadang jalan yang sesuai serta pencahayaan akan turut diberi perhatian selepas ini.
“Dari segi spesifikasi dan tindakan lanjut berkaitan penghadang jalan pula, itu di bawah (bidang) Kementerian Kerja Raya. Namun begitu, aspek keselamatan jalan raya ini sebenarnya memerlukan kerjasama antara pelbagai kementerian,” katanya.
Jelas Anthony Loke, kementeriannya akan mengambil inisiatif untuk memasang lampu jalan jenis solar bagi mengatasi masalah pencahayaan pada waktu malam di laluan berkenaan selepas ini.
“Kita perlu mengambil langkah yang drastik dan segera untuk memberikan keutamaan kepada isu keselamatan jalan raya, khususnya di Lebuhraya Timur-Barat,” katanya yang akan melakukan lawatan ke tapak kejadian pada Khamis bersama pihak berkaitan bagi menilai sendiri keadaan dan keperluan tindakan segera.
Sementara itu, kata Anthony Loke, siasatan terhadap insiden kemalangan itu kini sedang dijalankan oleh dua pihak berkuasa, iaitu polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Apabila berlaku kemalangan, polis akan membuat siasatan terperinci dari segi unsur jenayah manakala JPJ pula akan melihat kepada perkara-perkara teknikal dan audit keselamatan terhadap syarikat. Itu yang telah kita lakukan semalam di lokasi kejadian,” katanya.
Ujar beliau, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat bas yang terlibat, selain memohon untuk menilai rekod Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) bagi menentukan sama ada bas tersebut memecut semasa kejadian atau sebaliknya.
“Kita perlukan pelbagai maklumat, terutamanya laporan JPJ dan rekod GPS bas tersebut. Kita nak tahu sama ada ia memecut atau tidak. Kita juga akan laksanakan audit terhadap syarikat termasuk latar belakang pemandu bas,” katanya yang enggan membuat sebarang kesimpulan awal mengenai nahas tersebut buat masa ini.-UTUSAN











