PETALING JAYA: Isteri kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menyifatkan tindakan pembekuan asetnya di luar negara merupakan satu pencabulan dan menyifatkan sebagai dendam politik.
Na’imah berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai tindakan tersebut dan hanya mengetahui menerusi laporan akhbar bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sudah mengeluarkan perintah pembekuan ke atas asetnya di luar negara.
Oleh itu, kata beliau, tindakan tersebut merupakan satu pencabulan mengejut norma undang-undang yang paling asas.
“Ia langsung tidak boleh diterima bahawa perkara sebegini berlaku di Malaysia.
“Penyitaan harta oleh kerajaan tanpa sebarang notis kepada pemilik yang sah merupakan satu rujukan yang berbahaya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan, dua bangunan komersial, tiga kediaman mewah dan dua kediaman milik isteri kepada bekas Menteri kewangan itu dan keluarganya yang terletak di sekitar London telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Turut dibekukan ialah sebuah akaun bank milik The Ilham Foundation, sebuah pertubuhan kebajikan di London yang Na’mah merupakan salah seorang pemegang amanahnya.
Ia menjadikan keseluruhan aset mudah alih dan tidak alih dibekukan tu dianggarkan bernilai £132 juta (RM758.2 juta).
Na’imah mendakwa, SPRM sudah memperoleh ex parte itu secara rahsia dan suruhanjaya itu hanya memilih untuk berdiam di sebalik pintu tertutup dan dirinya pula tidak diberi peluang untuk membela diri.
Jelasnya, beliau seharusnya dibenarkan untuk menyatakan pembelaan di mahkamah bagaimanapun haknya itu dinafikan.
“Tiada yang munasabah akan mengatakan bahawa ini selaras dengan keadilan atau prinsip keadilan asasi. Mereka telah memperoleh perintah tersebut secara serang hendap.
“Malah tiada peruntukan dalam undang-undang yang membenarkan permohonan ex parte seperti ini dibuat dan kini mereka bersembunyi di sebalik ‘selimut’ undang-undang untuk menjustifikasikan sesuatu, yang secara jelas merupakan satu bentuk pencurian oleh institusi kerajaan,” katanya. – UTUSAN