Bukan sebab sudah bergelar suami kepada Siti Hajaar Syeikh Nordin. Tapi seandainya pelakon dan penyanyi, MK, masih bujang, dia akan tetap menjaga batas dalam lakonan.
Bagi MK atau Muhammad Hairi Amin Hamdan, perkara mengenai had lakonan adalah bersifat peribadi dan bergantung kepada setiap individu untuk membina batas dalam kerjaya.
“Tak perlu ada persetujuan pun untuk saya menjayakan apa-apa babak kerana semua itu adalah kesedaran daripada diri sendiri.
“Pelakon lain juga tahu di mana had atau batas perlu ditetapkan ketika berlakon lagi-lagi kita di Malaysia ini memang ada batasan dalam lakonan.
“Jadi, saya fikir tidak perlu persetujuan orang atau apa sebab itu memang batasan yang perlu kita jaga sebagai pelakon. Ini adalah usaha sendiri untuk menetapkan batas itu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah penyanyi Mimpi itu lagi, sejak berkahwin, isteri akan menjadi pengkritik utama. Siapa sangka di sebalik kelembutan, ada yang tidak kena di mata, dirinya akan bersuara.
“Isteri kalau tonton drama, dia hanya tengok lakonan saya sahaja. Dia jarang komen mengenai lakonan cuma kalau benda tak okay, dia akan beritahu.
“Setakat ini dia komen tak banyak, jadi belum ada (lakonan) yang terlalu teruk,” katanya ketaw
Bercakap mengenai kualiti lakonan, sejak memegang karakter Adam dalam Aku Bukan Ustazah, ramai yang memuji persembahan MK di layar sudah semakin baik.
“Saya tidaklah bagus masih dalam proses belajar. Mungkin sebab karakter saya agak santai membuatkan orang terima.
“Kalau nak cakap saya berlakon tak kayu, saya masih ranting, peningkatan mungkin saya tak rasa. Orang sekeliling yang rasa. Saya masih banyak kekurangan,” katanya.
Tambahnya lagi, dia mengambil peluang berguru dengan pengarah di set penggambaran selain belajar daripada lakonan orang lain.
“Saya banyak bersemuka dan terus tanya pengarah di set. Sebab kalau nak pergi ke kelas lakonan saya agak malu.
“Jadi banyak proses belajar saya alami di set penggambaran. Saya juga rujuk lakonan orang lain dan lihat perspektif berbeza seperti sisi kamera dan lontaran intonasi mereka,” tambahnya.
Drama Aku Bukan Ustazah 2 sedang ditayangkan di slot Lestary TV3 setiap Isnin hingga Jumaat, jam 9 malam.
Drama arahan Idora Abdul Rahman itu juga menampilkan pelakon seperti Erysha Emyra, Nabil Aqil, Zahiril Adzim dan ramai lagi. -UTUSAN